Tidak perlu tunggu lama, Toyota Urban SUV Concept dilancar di Eropah pada 2024

oleh Muhammad Md Tajudin|
Toyota Urban SUV Concept
Toyota Urban SUV Concept
Pengguna di Eropah yang mahukan kenderaan utiliti sukan (SUV) elektrik kompak Toyota tidak perlu menunggu lama kerana sebuah model baharu bakal dilancar pada 2024.

Kenderaan elektrik (EV) itu terlebih dahulu dipertonton melalui Urban SUV Concept di Forum Kenshiki Toyota di Brussels, Belgium.

Mungkin ada yang perasan Urban SUV Concept nampak seperti sebuah lagi SUV dari pengeluar lain.

Jawapannya betul kerana Toyota bekerjasama dengan Suzuki yang sebelum ini tampil dengan eVX.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Toyota Urban SUV Concept 2023

 

Walaupun mirip eVX, Urban SUV Concept tampil dengan gaya tersendiri dan boleh dilihat pada rupa depan yu kepala tukul.

Dari segi ukuran, Urban SUV Concept memiliki panjang 4,300 milimeter (mm), lebar 1,820 mm dan tinggi 1,620 mm. 

Kecuali 20 mm lebih lebar, maklumat yang diberikan sama seperti eVX.

 

Toyota Urban SUV Concept

 

SUV yang belum diberi nama itu akan menjadi satu daripada enam model EV khusus Toyota dan akan bersaing di dalam segmen B.

Toyota menjangkakan SUV segmen B bakal menjadi pasaran terbesar untuk EV di Eropah.

Berkenaan nama, berkemungkinan akan dibuat mengikut tetapan bZ4X yang sudah diperkenal di beberapa pasaran termasuk United Kingdom (UK).

 

Toyota Urban SUV Concept

 

Buat masa sekarang, Toyota lebih menumpukan kepada kenderaan hibrid elektrik (HEV) dan penawaran EV tidak semeriah pengeluar lain di Eropah.

Pengenalan enam EV menjelang 2026 di Eropah akan mengubah langkah dan pandangan pengguna terhadap Toyota.

Satu fakta ialah HEV Yaris Cross diminati ramai sehingga menjadi model terlaris di dalam segmennya di Eropah.

 

Toyota Urban SUV Concept

 

Toyota memanfaatkan pengalaman tersebut bagi membangunkan SUV BEV dan memenuhi keutamaan pelanggan Eropah.

Tidak dilupakan, reputasi Toyota sebagai pembuat kereta yang boleh diharap.

Lagi maklumat yang dikongsi ialah SUV baharu itu akan ditawarkan dengan pacuan roda depan dan semua roda (AWD).

 

Toyota Urban SUV Concept

 

Toyota juga akan menawarkan dua jenis bateri yang berkemungkinan dengan dua jarak berbeza.

Tidak semua pengguna memerlukan jarak jauh dan strategi itu sudah menjadi kebiasaan dalam penawaran EV.

Sebagai rujukan, Suzuki eVX boleh dipandu sejauh 500 kilometer (km).

 

Toyota Urban SUV Concept

 

Dengan pengenalan di Eropah, adakah pasaran tempatan bakal menerima penawaran yang sama?

Seeloknya begitu kerana Kerajaan menawarkan pengecualian cukai dan duti dan berjaya melonjakkan jualan EV.

Naza Eastern Motors juga khabarnya sedang berusaha untuk membawa masuk EV dan tidak lain tidak bukan adalah Suzuki eVX.

Penulis: Muhammad Md Tajudin