Tiga maut, lima kanak-kanak cedera kemalangan di WCE

oleh Hamimah Hamid|
Gambar dari perkongsian apbm
Gambar dari perkongsian apbm
TIGA orang maut dalam kemalangan membabitkan dua kereta di KM 262.5 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) Sabak Bernam menghala ke Changkat Jering arah utara malam tadi.

Kemalangan kira-kira pukul 11 malam itu turut menyebabkan lima kanak-kanak cedera.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, panggilan kecemasan kejadian diterima pada jam 11.11 malam.

 

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Trong bergegas ke lokasi kejadian.

 

"Tiba di lokasi didapati kemalangan membabitkan dua buah kenderaan iaitu kereta Perodua Bezza dan Honda Civic.

 

"Sembilan orang mangsa terlibat dalam kemalangan, seorang mangsa tersepit di dalam kereta Perodua Bezza manakala seorang lagi tersepit di dalam kenderaan Honda Civic," katanya.

 

Menurut Sabarodzi, lelaki dan wanita yang menaiki Perodua Bezza meninggal dunia manakala tiga kanak-kanak dalam kereta terbabit cedera.

 

Katanya, seorang wanita yang menaiki kereta Honda Civic turut meninggal manakala seorang wanita dan dua kanak-kanak cedera.

 

"Kesemua mangsa dikeluarkan menggunakan peralatan menyelamat dan mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

 

"Mangsa yang cedera dibawa ke hospital menggunakan kenderaan dari Kementerian Kesihatan dan jentera Pasukan Khas jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari BBP Taiping," ujarnya.