Tipu urusan jual beli kereta mewah, pemandu trak tunda didakwa

oleh Penyumbang Rencana|
gambar dari Bernama
Seorang pemandu trak tunda mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menipu dua lelaki dalam urusan jual beli kereta mewah jenis BMW dan wang tunai RM200,000 pada Rabu.

K. Thiviyen Raj, 26, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Datin Sabariah Othman dan Hakim Azrul Darus.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Di hadapan Hakim Sabariah, lelaki itu didakwa memperdaya bekas penyelia sebuah syarikat swasta berusia 27 tahun dengan memberikan cek tidak wujud berjumlah RM225,000 sebagai bayaran pembelian kereta jenis BMW daripada mangsa. Mangsa tidak akan menyerahkan keretanya, sekiranya tidak diperdayakan tertuduh.

Di hadapan Hakim Azrul, Thiviyen mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memperdayakan seorang pengurus majlis berusia 40 tahun untuk mempercayai bahawa dia akan mendapatkan kereta mewah terpakai sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang tunai RM200,000 kepadanya, di mana mangsa tidak akan berbuat demikian jika tidak diperdaya oleh tertuduh.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Laman Rimbunan Kepong di Sentul, pada 3 Ogos 2023 dan di sebuah kondominium di Taman Kobena, Cheras pada Julai 2021.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Akmalzatul Mohamed Nawi dan Muhammad Amir Hannif Ahijman masing-masing menawarkan jaminan sebanyak RM50,000 dan RM80,000 dengan syarat tambahan pasport perlu diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Peguam Datuk A. Sheelan yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya mempunyai tanggungan keluarga.

Hakim Sabariah dan Azrul membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 serta syarat tambahan yang dipohon pendakwaan dan menetapkan 15 April untuk sebutan semula kes.

 

Bernama

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Mohammad Naziruddin didakwa sebagai pemegang lesen runcit barang kawalan berjadual iaitu petrol dan…
Berita Domestik
Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh cuba menyebabkan kematian ke atas seorang anggota polis…
Berita Domestik
Tertuduh, Muhammad Firdaus Shariman, 33, dan Siti Salasiah Jumaah, 25 membuat pengakuan bersalah…