Tolman Edition 205 GTI, projek restomod berharga RM300k!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Tolman Edition 205 GTI
Tolman Edition 205 GTI
Kebiasaannya individu atau syarikat baik pulih kereta akan memilih model seperti Land Rover, Porsche, Mini Cooper dan Volkswagen Beetle untuk dijadikan kereta projek.

Tolman Engineering dari United Kingdom (UK) ini pula lain ceritanya.

Syarikat memilih untuk membaik pulih dan mengubah suai Peugeot 205 GTI dan menamakannya sebagai Tolman Edition GTI.

Projek restomod ini dibuat mengikut spesifikasi pelanggan dan tampil moden dengan beberapa ciri baharu dan ubah suai yang dibuat boleh dikembalikan mengikut keadaan asal.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Tolman Edition 205 GTI

 

Untuk projek ini, badan Peugeot 205 GTI diperkemaskan dengan lapisan anti karat dan perlindungan daripada serpihan batu dan salut seramik (ceramic coating).

Bermula dari situ, Tolman menghabiskan 700 jam untuk memasang segala perkakasan prestasi dan ciri baharu bagi melahirkan Tolman Edition 205 GTI.

Pada bahagian enjin, kedua-dua enjin sesaran 1,600cc dan 1,900cc Tolman Edition dipasang kepala silinder yang telah dimesin (ported) untuk aliran udara lebih baik.

 

Tolman Edition 205 GTI

 

Tolman Edition 205 GTI 1,900cc yang dibuat untuk pelanggan pertama sedikit berbeza.

Selain kepala silinder yang telah dimesin, enjin itu menggunakan penutup sesondol bilet (bilet cam cover) yang dibuat khas dan Tolman mengekalkan blok aluminium XU standard.

Tolman memilih untuk mengubah suai enjin berbanding salinan terus enjin Mi16 yang biasa dibuat kerana terdapat lebih ruang untuk peningkatan kuasa dari kepala silinder.

 

Tolman Edition 205 GTI

 

Diganding bersama sesondol baharu, kuasa enjin 16 injap tersebut boleh menghasilkan lebih 197 kuasa kuda (hp).

Turut diganding bersama enjin ialah set ekzos tahan karat Tolman dengan rekaan seperti buatan kilang.

Unit Kawalan Elektronik (ECU) dengan pendikit 'fly-by-wire' dari Motec berfungsi dengan meningkatkan penghidupan enjin semasa sejuk dan panas dan respon pendikit lebih baik.

 

Tolman Edition 205 GTI

 

Selain ciri standard itu, pelanggan boleh memesan pembeza gelincir terhad (LSD) Quaife ATB dan bersama tayar Michelin Youngtimer PE2 saiz 15 inci dapat meningkatkan cengkaman.

Tolman juga memasang rod tukaran dan sesendal (bush) yang dipertingkatkan pada kotak gear yang dibina semula bagi mendapatkan tukaran gear lebih kemas. 

Bahagian pengendalian 'diusik' dengan set suspensi Bilstein, lengan bawah boleh laras dan bar anti golengan belakang buatan khas.

 

Tolman Edition 205 GTI

 

Pembelokan rasa lebih tepat dengan bahagian belakang yang lebih mudah dijangka dan boleh dikawal.

Satu lagi ciri 'sleeper' pada kereta ini ialah pilihan brek AP Racing yang tersorok kemas di sebalik rim standard.

Brek itu dipadan dengan saluran brek tahan karat ATEC yang membantu dari segi rasa pedal konsisten dan bebas pudar (fade).

 

Tolman Edition 205 GTI

 

Pada bahagian dalam, kerusi dibalut semula, karpet diganti baharu dan stereng dibalut Alcantara. Set audio dari Blaupunkt dengan subwufer dan sambungan Bluetooth.

Supaya kereta yang cantik ini tidak diambil orang, pemiliknya meminta Tolman memasang sistem keselamatan dengan kunci berpusat kawalan jauh dan penggera.

Lagi perkakasan yang dipasang ialah pelumpuh (immobiliser), sistem penjejak dan kawalan telefon pintar. 

 

Tolman Edition 205 GTI

 

Lampu luar ditukar kepada jenis LED supaya lebih tahan lama dan terang. 

Tolman juga membantu pemilik dengan memberikan filem perlindungan cat (PPF) depan, selimut kereta buatan khas dan pengecas pintar sebagai ciri standard.

Sebagai sebuah kereta tempahan khas, banyak lagi yang boleh dibuat seperti warna dan balutan dalaman istimewa dan skrin sentuh dengan fungsi Apple CarPlay/Android Auto.

 

Tolman Edition 205 GTI

 

Bagaimana pula dengan harga untuk kereta ikonik yang diperbaharu ini?

Bermula dari 55,000 Pound Sterling (RM299,206.25) termasuk jaminan selama 12 bulan untuk perkakasan dan pemasangan dan 12 bulan penyelenggaraan dan pemeriksaan.

Selain projek ini, ada beberapa lagi Tolman Edition yang dirancang dan merangkumi 'hot hatch' era 80-an dan 90-an.

Penulis: Muhammad Md Tajudin