Tongkang tersadai di Pantai Melawi bernilai RM6 juta dituntut

oleh SALINA JALIL|
Sebuah tongkang MMS 009 bernilai RM6 juta yang tersadai di Pantai Melawi di sini, dituntut semula pemiliknya Miccennium Marine Shipping pada Isnin.


Tuntutan dibuat oleh agensi perkapalan Jassari Sdn Bhd mewakili pemilik tongkang berkenaan yang berpangkalan di Singapura.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

 

Pengurus Jassari Sdn Bhd, M Fakrul Razzi Muhammad berkata, semasa menunda tongkang itu, salah satu enjin bot yang terlibat dalam proses berkenaan telah mengalami kerosakan sekali gus menjejaskan kerja-kerja tersebut.


"Ketika itu keadaan laut bergelora dan kelajuan angin mencecah 37 knot. Situasi tersebut cukup bahaya kepada kerja-kerja menunda tongkang berkenaan," katanya ketika ditemui pemberita di Pantai Melawi di sini pada Ahad.

 

Hadir sama Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin.

 

Menurut beliau, situasi itu menyebabkan kru yang terlibat dalam kerja-kerja menunda terpaksa memotong tali tongkang tersebut bagi mengelakkan insiden lebih buruk berlaku.

 

Beliau berkata, kesemua tujuh kru bot tunda yang terlibat dalam misi itu selamat berlabuh di jeti Ship Yard, Semerak, Pasir Puteh.

 

M Fakrul Razzi berkata, sejurus menerima maklumat daripada kru, pemilik tongkang berkenaan telah bertindak mencari pihaknya untuk menguruskan perkara tersebut.

 

"Kita dapat tahu perkara ini pada Khamis, sehari kemudian, pihak kami telah membuat satu laporan polis di Balai Polis Jelawat untuk memaklumkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa.

 

"Kami akan mencari sebuah bot tunda untuk membawa keluar tongkang ini dari Malaysia dan pemiliknya kemudian akan putuskan sama ia akan digerakkan ke Songkla, Thailand atau kembali ke Singapura," katanya.
 

 

 

Sinar Harian