Setelah Perodua Axia 2023 didedahkan pada minggu lepas dan dilancarkan hari ini, minggu ini pula giliran kembarnya iaitu Toyota Agya untuk membuat debut di pasaran Indonesia.
Seperti Axia, Agya turut dibina menggunakan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) yang sama untuk memberikan pengalaman pemanduan dan keselesaan serba baharu.
Untuk pasaran Indonesia, Agya akan ditawarkan dengan 2 varian iaitu varian G, dan yang menarik perhatian iaitu varian GR Sport.
Menurut ketua jurutera, Toshihiro Nakaho, platform baharu itu menampilkan panjang badan yang sama seperti beberapa model segmen-B dalam pasaran, walaupun ianya merupakan hatchback segmen-A
Sama seperti Axia, Agya 2023 itu hanya didedahkan dengan beberapa maklumat sahaja, Toyota Astra Motor (TAM) iaitu pengedar Toyota Indonesia juga tidak mendedahkan spesifikasi terperinci serta harga jualan.
Jika dilihat dengan teliti, Agya sememangnya diberikan rupa yang berbeza jika dibandingkan dengan Axia, terutama sekali varian GR Sport yang didatangkan dengan rekaan bumper hadapan seakan abang besarnya iaitu GR Yaris dan GR Corolla.
Menurut Toshihiro Nakaho juga, Agya 2023 akan dikuasakan dengan enjin baharu dipadankan bersama transmisi CVT, ianya berkemungkinan akan menggunakan nadi enjin WA-VE 1.2L tiga-silinder serba baharu.
Enjin yang sama digunakan pada kembar Ativa, iaitu Rocky dan Raize itu menghasilkan 88 HP dan 112 Nm dan apa yang menariknya, selain transmisi CVT, Ayga juga bakal ditawarkan dengan transmisi manual 5 kelajuan.
Tentu sekali penawaran transmisi manual itu dilihat sesuai dengan varian GR Sport, varian tersebut juga dikatakan turut menerima sistem stereng dan suspensi yang ditala semula bagi memberikan pengalaman pemanduan kereta sport.
Pada bahagian dalam pula, hampir keseluruhan bahagian kabin berkongsi rupa yang sama seperti Axia, namun jika dilihat pada gambar Agya hanya menerima paparan meter analog.
Tetapi jika dilihat pada gambar, meter analog itu mungkin untuk varian G, dan mungkin juga varian GR Sport akan menerima paparan meter digital TFT 7 inci sama seperti Axia AV.