Toyota Alphard hilang dibawa lari penyewa guna aplikasi

oleh Mohamad Hanif|
Seorang lelaki kehilangan kenderaan milik isterinya selepas ia disewa kepada seorang lelaki menerusi satu aplikasi pada 29 Jun lalu.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya mengesan satu kenyataan yang dikeluarkan daripada seorang lelaki melalui Twitter mengenai dakwaan kehilangan kenderaan itu menerusi aplikasi berkenaan, hari ini.

"Kami membuka satu kertas siasatan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields yang membabitkan suspek iaitu seorang lelaki tempatan dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard bernilai RM 361,723.

"Siasatan awal dilakukan mendapati mangsa mendaftarkan akaun melalui aplikasi itu untuk menyewakan kereta milik isterinya pada kadar sewaan RM700 sehari.

"Pada 9 Jun lalu, mangsa menerima notifikasi di aplikasi itu terdapat pelanggan berminat menyewa kenderaan terbabit selama sehari mulai 29 hingga 30 Jun lalu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Amihizam berkata, urusan pengambilan dan penghantaran kenderaan kepada pelanggan diuruskan oleh pihak aplikasi berkenaan sebelum ia diserahkan kepada seorang lelaki tempatan.

"Urusan serah menyerah dilakukan di sebuah pusat beli belah, di sini, pada 29 Jun lalu. Namun, penyewa kenderaan itu didapati gagal memulangkannya pada masa dan tarikh ditetapkan pada 30 Jun lalu.

"Pihak aplikasi itu memaklumkan mahu mengambil kenderaan itu daripada suspek tetapi dia menegaskan akan memulangkannya terus kepada mangsa dan meminta membatalkan penghantaran di aplikasi terbabit," katanya.

Katanya, mangsa menghubungi suspek dan dimaklumkan kenderaan itu diserahkan kepada penyewa lain iaitu seorang lelaki tempatan yang berada di Banting, Selangor.

"Mangsa kemudian gagal menghubungi suspek dan kenderaan itu tidak dikembalikan sehingga ke hari ini.

"Pihak aplikasi terbabit membuat satu laporan sebagai 'covering report' untuk penafian dan laporan itu diklasifikasi sebagai rujukan bagi laporan lain (ROR) iaitu aduan dibuat mangsa pada 1 Julai lalu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menimbulkan sebarang spekualasi berkaitan kes itu.

"Sebarang maklumat lain berkaitan jenayah atau aktiviti yang mencurigakan boleh disalurkan kepada hubungi Polis Brickfields di talian 03-2209922, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460584/0585 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Sumber: Harian Metro

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Menurutnya, helikopter berkenaan sepatutnya diterima oleh TDM pada Nov lepas, bagaimanapun susulan…
Berita Domestik
Sehubungan itu, siasatan lanjut secara menyeluruh sedang dijalankan bagi memastikan sama ada…
Berita Global
Tindakan mengejut yang diumumkan pada lewat Khamis itu mencetuskan kritikan daripada pendokong…