Toyota bZ3 2023 mula dipasang di China, platform e-TNGA, jarak gerak 616 km, dari RM123k

oleh Mohamad Hanif|
Sedan elektrik pertama Toyota bZ3 yang dibangunkan menerusi kerjasama dengan BYD itu kini mula memasuki barisan produksi di pasaran China.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Mengikut spesifikasi yang dipetik daripada laman web CarNewsChina, Toyota bZ3 2023 merupakan sebuah sedan elektrik dengan ukuran sepanjang 4,725 mm, lebar 1,835 mm, tinggi 1,475 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,880 mm.
 

bZ3


Sama seperti SUV bZ4X, Toyota bZ3 menggunakan platform e-TNGA sementara komponen trenkuasa seperti motor elektrik, sistem kawalan dan pek bateri pula dibeli daripada BYD, pengeluar EV terbesar di dunia.

Motor elektrik tunggal itu mampu menjana kuasa setinggi 241 hp dan daya kilas 303 Nm, di mana pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 7.5 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 160 km/j.

Kapasiti pek bateri pula bermula dari 49.92 kWh hingga 65.28 kWh, di mana jarak gerak sejauh 616 km boleh dicapai menerusi data CLTC.
 

bZ3


Susun atur papan pemuka bZ3 juga dilihat banyak membawakan persamaan dengan model bZ4X, dengan rekaan roda stereng atas dan bawah rata, skrin kluster digital kecil, dan skrin paparan tengah menegak bersaiz 12.3 inci.

Tiada tuil lampu isyarat membelok disediakan, di mana pemilik perlu menekan butang pada roda stereng untuk memberikan isyarat membelok semasa menukar laluan atau memasuki simpang.

Dalam masa yang sama, Toyota turut melancarkan kempen pra-jualan di mana 5,000 orang pelanggan pertama boleh mendapatkan subsidi bernilai RMB 5,000 (RM3,231) untuk tempahan sebelum 31 Mei 2023.
 

bZ3


Sementara pelanggan setia FAW-Toyota pula akan mendapat subsidi penggantian bernilai RMB 8,000 (RM5,170), atau subsidi pembelian tambahan RMB 6,000 (RM3,877).

Untuk makluman, sedan elektrik bZ3 ini dijual pada harga bermula dari RMB 189,800 - RMB 219,800 (RM122,650-RM142,036).

Pembeli terawal juga bakal mendapat pakej penyelenggaraan berkala selama 10 tahun atau jarak perbatuan 200,000 km secara percuma, bantuan tepi jalan 24 jam, serta kemudahan pengecasan di rumah, juga secara percuma.
 

bZ3


Toyota bZ3 2023 dipasang di kilang FAW-Toyota New Energy Plant yang terletak di Sino-Singapore Tianjin Eco-city, dengan keluasan 1.97 juta meter persegi, dan mempunyai kapasiti pengeluaran tahunan berjumlah 200,000 unit.

Buat masa ini, Toyota bZ3 2023 hanya dihasilkan khusus untuk pasaran China sahaja.

Sumber: CarNewsChina