
Nama ini juga mudah disebut berbanding ciptaan baharu yang asing di telinga pengguna. Mungkin selepas ini akan ada Corolla+, RAV4+, Yaris+ atau Vios+ (Eh?!).
Dengan pelancaran ini, Toyota mempunyai tiga BEV untuk pasaran global termasuk bZ4X dan Urban Cruiser.
Toyota bZ3X pula untuk China dan khabarnya menerima sambutan menggalakkan.
Dari segi reka bentuk, C-HR+ nampak lebih kepada gaya Lexus RZ jika tidak kerana bZ4X, C-HR dan Prius.

C-HR+ membawa gaya robotik dengan garis tajam dan bersegi termasuk garis badan sisi pelbagai arah.
C-HR+ bukan sahaja menjawab Toyota tidak mempedulikan BEV tetapi juga betapa jauh reka bentuk yang telah dianjak selepas kritikan membosankan beberapa tahun lalu.
Dari segi dimensi, C-HR+ mempunyai panjang keseluruhan 4,520 milimeter (mm), lebar 1,870 mm, tinggi 1,595 mm dan jarak roda 2,750 mm.
Saiz ini lebih besar daripada C-HR dan lebih kecil daripada bZ4X. C-HR+ diletakkan di antara Urban Cruiser dan bZ4X.

Ukuran tersebut memberikan ruang kabin yang luas dengan jarak tempat duduk depan-belakang sebanyak 900 mm. Kapasiti but biasa sahaja iaitu 416 liter.
Reka bentuk menyerlah, bagaimana pula dengan jarak pemanduan? Bergantung pada varian, C-HR+ boleh dipandu sehingga 600 kilometer (WLTP) (belum disahkan).
Bagi meningkatkan kecekapan tenaga, aerodinamik kenderaan telah dioptimumkan seperti siluet, spoiler bumbung dan bahagian belakang 'ekor itik' untuk aliran udara lebih lancar.
Untuk pasaran Eropah, Toyota menawarkan dua pilihan bateri iaitu 57.7 kilowatt-jam (kWj) khusus untuk pacuan roda depan (FWD).

Bateri berkapasiti lebih tinggi 77 kWj ditawarkan untuk kedua-dua model FWD dan pacuan semua roda (AWD).
Model AWD dengan bateri 77 kWj menghasilkan 252 kW (343 hp) (jangkaan) dan pecutan 0 sehingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam hanya 5.2 saat.
Model FWD dengan bateri 57.7 kWj pula menghasilkan 123 kW (167 hp) dan 165 kW (224 hp) bagi varian 77 kWj.
Dari segi pengecasan, Toyota C-HR+ dilengkapi pengecas terbina dalam 11 kW sementara varian lebih tinggi menerima pengecas 22 kW.

Pengecasan pantas DC mampu mencapai kelajuan sehingga 150 kW.
Fungsi pra-penyaman bateri meningkatkan prestasi pengecasan dalam pelbagai keadaan dan boleh dikendalikan secara automatik atau manual.
Penggunaan pam haba untuk sistem penghawa dingin, pemanas tempat duduk, stereng dan cermin hadapan membantu mengurangkan penggunaan tenaga secara keseluruhan.
Toyota sekarang ini memberi perhatian mendalam pada pemanduan dan pengendalian.

Selain pelantar BEV khusus yang menawarkan kekuatan, ketegaran dan kelincahan, perkakasan ampaian ditala khusus untuk C-HR+.
Di antaranya pegas, penyerap hentak dan bar anti-oleng untuk kawalan yang lebih baik. Stereng kuasa elektrik (EPS) juga telah dilaras semula untuk lebih responsif.
Pusat graviti C-HR+ lebih rendah berbanding C-HR selain badan lebih tegar.
Momen inersia yang dikurangkan pula menyumbang kepada pengendalian lebih tangkas.

Berbekalkan reputasi kukuh, memiliki kenderaan Toyota ibarat melabur dalam ketahanan dan kebolehpercayaan. Namun, Toyota tetap tidak memandang ringan.
Program Penjagaan Bateri ditawarkan dengan perlindungan sehingga 10 tahun atau 1 juta km, tertakluk kepada pemeriksaan kesihatan bateri tahunan.
Selain itu, Toyota menjamin bateri mengekalkan sekurang-kurangnya 70% kapasiti asal dalam tempoh tersebut.
Waranti ini merangkumi Jaminan Pengeluar EV selama 8 tahun atau 160,000 km.

Jaminan boleh dilanjutkan melalui Program Penjagaan Bateri hingga 10 tahun atau 1 juta km, selagi pemeriksaan tahunan dipenuhi.
Toyota C-HR+ dijadualkan dilancarkan di beberapa pasaran terpilih di Eropah pada akhir 2025 sebelum diperkenalkan ke semua pasaran Eropah bermula 2026.
Bagaimana pula dengan pasaran lain? Untuk Asia Tenggara perlu tunggu penawaran di Thailand atau Indonesia dahulu.
Penulis: Muhammad Md Tajudin
