Namun, tidak seperti model yang dipasarkan di Jepun, Corolla Cross facelift Thailand ini dilihat membawakan perubahan yang agak ketara, terutama pada rekaan bampar depan.
Kecuali Corolla Cross HEV GR Sport, kesemua varian crossover itu membawakan struktur bampar serba baharu, jeriji hadapan dengan elemen rekaan sarang lebah, diikuti dengan unit lampu serba baharu yang menampilkan grafik DRL seakan model Lexus dan fungsi lampu membelok jenis sekuential.
Bergantung kepada varian, Corolla Cross facelift ini dibekalkan dengan rekaan rim 18 inci dua tona baharu, diikuti dengan lampu belakang LED yang standard untuk semua varian, dan logo HEV baharu untuk varian hibrid.
Untuk ruang kabin, Corolla Cross facelift ini mendapat ciri baharu seperti skrin tengah bersaiz 10.1 inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto nirwayar, sistem pencahayaan kabin LED, serta brek parkir elektrik (EPB) dengan fungsi Auto Brake Hold menggantikan brek parkir kaki mekanikal.
Hanya dua varian terendah sahaja dilengkapi dengan skrin MID TFT bersaiz tujuh inci, manakala dua varian tertinggi pula didatangkan dengan skrin digital penuh 12.3 inci dan tambahan bumbung kaca panorama.
Dari segi kuasa, Toyota Corolla Cross facelift ini masih lagi kekal dengan penawaran enjin 1.8 liter 2ZR-FBE menghasilkan 140 hp dan 177 Nm, serta enjin hibrid 1.8 liter 2ZR-FXE dengan kuasa keseluruhan 122 hp.
Secara standard, Corolla Cross facelift datang dengan ciri seperti tujuh beg udara, ABS, EBD, bantuan brek, sistem pemantauan tekanan tayar, bantuan mula mendaki, kawalan kestabilan serta sistem pemantauan titik buta dan amaran lintasan trafik belakang.
Varian pertengahan HEV Luxury pula lengkap dengan Toyota Safety Sense merangkumi sistem pra-pelanggaran, kawalan jelajah radar dinamik, amaran keluar lorong, bantuan pengesanan lorong dan bantuan suluhan tinggi automatik. Dua varian tertinggi pula didatangkan dengan tambahan ciri sokongan brek parkir.
Harga jualan di pasaran Thailand bermula dari 999,000 baht (RM132,969) untuk varian asas 1.8 liter NA, sementara varian HEV GR Sport bermula dari 1,254,000 baht (RM166,568).