Pihak Toyota Astra Motor secara rasmi melancarkan crossover Toyota Corolla Cross yang didatangkan dalam dua varian utama, versi bukan hibrid dan varian hibrid.
Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Toyota Corolla Cross dibangunkan menggunakan platform TNGA-C sama seperti model Corolla dan C-HR, dengan dimensi yang duduk ditengah-tengah antara crossover C-HR dan RAV4 yang lebih besar.
Di Indonesia, versi asas hadir dengan enjin 1.8 liter 2ZR-FE menghasilkan 140 PS dan 169 Nm, sementara Corolla Cross Hybrid pula dilengkapi enjin 2ZR-FXE (98 PS/142 Nm) yang dibantu dengan motor elektrik (72 hp/163 Nm).
Model aspirasi natural itu tadi menerima transmisi CVT-i manakala model hibrid pula dipasang dengan transmisi CVT elektrik.
Toyota mendakwa, dengan penggunaan casis yang ringan, model Corolla Cross NA itu tadi mampu mencapai penggunaan bahan api serendah 6.5 liter/100 km manakala model hibrid lebih jimat, serendah 4.3 liter untuk setiap 100 km.
Walaupun di pasaran Thailand, Toyota Corolla Cross dilengkapi dengan ciri Toyota Safety Sense, ciri tersebut nampaknya tidak tersedia untuk pasaran Indonesia selain daripada ciri ABS, EBD, bantuan mula mendaki dan tujuh beg udara secara standard.