Corolla Cross merupakan SUV global yang dikeluarkan sejak 2020 di merata tempat termasuk Bukit Raja, Selangor.
Beberapa tahun di pasaran, Corolla Cross menjalani program rupa baharu pada 2024 dan sudah memasuki pasaran tempatan.
Terbaru Toyota memperkenalkan Corolla Cross 2026 untuk pasaran Eropah. Paling menonjol Corolla GR Sport dengan rupa depan ala GR Corolla.
Untuk makluman, Corolla Cross Eropah menggunakan sistem hibrid generasi kelima sejak 2022.
Penawaran Corolla GR Sport adalah yang pertama di Eropah. Varian ini menampilkan ciri pengendalian yang lebih responsif serta beberapa perubahan visual khusus.
Ia dilengkapi rim aloi hitam 19 inci kemasan mesin, jeriji depan yang menonjol dan logo Toyota hitam berkilat. Warna dua tona Storm Grey eksklusif untuk varian ini.
Selain rupa depan yang berbeza daripada GR Sport tempatan, bampar belakang versi Eropah turut berbeza dan mengekalkan rekaan Corolla Sport biasa.
Di bahagian dalaman, kerusi dibalut bahan sintetik seakan suede BRIN・NAUB® bersama logo GR dan jahitan merah yang menonjolkan nuansa sporti.
Dari segi pengendalian dan pemanduan, suspensi Corolla Cross GR SPORT telah ditala semula dan direndahkan sebanyak 10 milimeter (mm).
Sistem stereng kuasa turut ditala semula dan dilengkapi dengan pedal gear untuk meningkatkan pengalaman pemanduan.
Mod Sport khusus diperkenalkan buat pertama kali bagi membolehkan tindak balas pecutan lebih pantas dengan meningkatkan kelajuan melahu enjin.
Sistem ini turut mengoptimumkan nyahpecutan apabila pedal minyak dilepaskan, menghasilkan rasa membrek yang lebih agresif.
Untuk merentasi jalan bersalji, varian ini juga dilengkapi mod Snow Extra seperti varian AWD-i.
Tahap keselamatan dan kemudahan turut dipertingkatkan menerusi sistem Toyota T-Mate yang kini menyokong kemas kini perisian secara terus.
Ia menggabungkan Toyota Safety Sense generasi ketiga dengan beberapa sistem bantuan pemanduan dan parkir tambahan.
Untuk Corolla Cross biasa, rupa depan seperti model tempatan jenis sarang lebah yang berperanan meningkatkan aliran udara ke ruang enjin.
Lampu utama kini dilengkapi teknologi Adaptive High Beam System pada varian tinggi.
Panduan cahaya LED pada lampu tengah dan kanta dalam menghasilkan pencahayaan sekata dan rupa yang lebih menyerlah.
Lampu belakang pula direka semula dengan penambahan sirip kecil bagi membantu kestabilan kenderaan menerusi penambahbaikan kecekapan aerodinamik.
Di bahagian belakang juga terletak logo Corolla Cross timbul yang memperkukuh identiti visual, sementara penggunaan rim aloi 18 inci memberikan penampilan yang lebih teguh.
Bahagian dalam kabin turut menerima perubahan melibatkan tombol gear baharu dan konsol tengah yang lebih besar.
Ruang ini kini menawarkan beberapa kemas kini praktikal termasuk ruang simpanan telefon pintar tambahan, kotak simpanan gelangsar dan rekaan pemegang cawan baharu.
Teknologi pengecasan tanpa wayar generasi terkini disediakan sebagai ciri standard.
Sambungan Android telah dipertingkatkan dengan kelajuan pengecasan 1.5 kali lebih pantas dan setanding dengan Apple CarPlay.
Sistem maklumat hibur Toyota Smart Connect dengan skrin sesentuh 10.5 inci beresolusi tinggi ditawarkan sebagai standard.
Selain itu, semua varian Corolla Cross di kebanyakan pasaran Eropah dilengkapi panel meter digital penuh bersaiz 12.3 inci.
Lampu suasana yang telah dipertingkatkan serta stereng dan kerusi dengan pemanas turut ditawarkan pada varian lebih tinggi.
Toyota turut memberi perhatian kepada aspek keselesaan dan ketenangan di dalam kabin melalui tiga penambahbaikan utama.
Bahan penyerap bunyi berkecekapan tinggi digunakan di bahagian sambungan bumbung untuk mengurangkan bunyi hujan dan jalan.
Bahan tambahan juga dipasang di kawasan ventilator belakang untuk menurunkan tahap bunyi dan getaran bagi penumpang belakang.
Bagi varian tinggi, penyenyap papan pemuka dalaman tiga lapisan turut dipasang bagi mengurangkan bunyi enjin.
Corolla Cross ditawarkan dalam dua pilihan kuasa hibrid iaitu Hybrid 140 dan Hybrid 200.
Kedua-duanya membolehkan pengguna menikmati kecekapan sistem hibrid dengan pilihan tahap prestasi berbeza.
Varian pacuan semua roda (AWD-i) dilengkapi mod Snow Extra yang direka untuk meningkatkan kestabilan dan kawalan di atas permukaan jalan bersalji.
Sistem ini membantu mengekalkan laluan kenderaan ketika pecutan, membrek, membelok dan menukar lorong.
Sistem berfungsi dengan mengaktifkan motor belakang bagi mengelakkan tayar tergelincir dan mengekalkan cengkaman.
Sistem ini sekaligus memberi kawalan yang lebih baik kepada pemandu dalam keadaan musim sejuk.
Toyota Corolla Cross baharu akan mula berada di bilik pameran Eropah menjelang musim panas 2025 (Jun hingga Ogos).
Varian GR SPORT dijangka menyusul pada musim luruh tahun yang sama (September hingga November).
Penulis: Muhammad Md Tajudin