Toyota Corolla Cross Hybrid 2022 - harga bermula dari RM136,550

oleh Mohamad Hanif|
Setelah beberapa siri teaser didedahkan, UMW Toyota Motor akhirnya secara rasmi melancarkan kenderaan hibrid elektrik pemasangan tempatan (CKD), iaitu Toyota Corolla Cross Hybrid sebagai pelengkap kepada penawaran sedia ada.
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 01
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 02

Tidak seperti model varian yang dilengkapi enjin konvensional 2ZR-FE 1.8 liter aspirasi natural (139 PS/172 Nm), Corolla Cross Hybrid tampil dengan nadi hibrid yang terdiri daripada enjin kitaran atkinson 2ZR-FXE 1.8 liter (98 PS/142 Nm) yang dipadankan dengan motor elektrik berkuasa 72 PS/163 Nm dengan kuasa keseluruhan berjumlah 122 PS.

Kuasa itu tadi disalurkan kepada roda depan menerusi transmisi e-CVT, di mana bacaan penggunaan bahan api pula adalah serendah 4.3 liter/100 km, dibantu dengan sistem brek regeneratif.
 

Corolla Cross


Terdapat sehingga empat mod pemanduan ditawarkan iaitu Sport, Eco, Normal atau EV.

Sebagai model varian tertinggi, Corolla Cross Hybrid mendapat kelengkapan menyeluruh seperti lampu utama Bi-LED dengan aksen biru, lampu nyalaan siang LED, lampu belakang kombinasi LED, serta rim aloi bersaiz 18 inci.

Ruang kabin pula mendapat kelengkapan seperti skrin MID TFT bersaiz tujuh inci berwarna penuh, skrin Display Audio sembilan inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, enam pembesar suara, sistem kawalan iklim dua zon automatik, serta tempat duduk pemandu berkuasa dengan larasan lapan cara.
 

Corolla Cross


Dari segi dimensi, Corolla Cross Hybrid masih membawakan ukuran sepanjang 4,460 mm, lebar 1,825 mm, tinggi 1,620 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,640 mm, dengan radius pusingan 5.2 meter dan jarak kelegaan tanah setinggi 161 mm.

Ruang kargo pula adalah sebesar 440 liter yang boleh diakses menerusi pintu tailgate berkuasa dengan penderia tendangan.

Corolla Cross Hybrid turut dilengkapi dengan ciri keselamatan Toyota Safety Sense yang merangkumi:

  • Sistem Pra-Pelanggaran (PCS)
  • Amaran Keluar Lorong (LDA) dengan bantuan stereng
  • Kawalan Jelajah Radar Dinamik (DRCC)
  • Bantuan Pengesanan Lorong (LTA)
  • Bantuan Suluhan Tinggi Automatik (AHB)
  • Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA)

 

Corolla Cross


Ciri di atas melengkapi ciri keselamatan pasif yang dimuatkan seperti tujuh beg udara, cagak ISOFIX, kawalan kestabilan kenderaan (VSC), kawalan cengkaman (TRC), bantuan mula mendaki (HAC), lampu berhenti kecemasan (ESS), serta sistem amaran tekanan tayar (TPWS).

Toyota Corolla Cross Hybrid boleh didapati dalam lima warna iaitu Celestite Grey Metallic, Silver Metallic, Nebula Blue Metallic, Platinum White Pearl, dan Red Mica Metallic.

Harga jualan Corolla Cross Hybrid bermula dari RM136,550 tidak termasuk insurans, dan didatangkan dengan jaminan lima tahun atau jarak perbatuan tanpa had, serta jaminan lapan tahun/jarak perjalanan tanpa had yang meliputi pek bateri, inverter dan unit kawalan pengurusan kuasa.

Sementara harga jualan bagi Corolla Cross 1.8G bermula dari RM123,000 diikuti varian Corolla Cross 1.8V pada harga RM129,000.