Toyota Fortuner 2021 - dua pilihan enjin, harga dari RM172,244

oleh Mohamad Hanif|
Selain daripada model Innova 2021 facelift, UMW Toyota turut sama melancarkan sebuah lagi model SUV facelift Toyota Fortuner 2021 yang hadir dengan beberapa penambahbaikan dari segi penampilan, prestasi dan ciri keselamatan.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Hanya dua varian sahaja ditawarkan, iaitu Fortuner 2.8 VRZ yang merupakan varian baharu menggantikan varian Fortuner 2.4 VRZ, serta sebuah varian petrol Fortuner 2.7 SRZ.

Seperti Innova, Fortuner 2021 facelift turut menampilkan perubahan dari segi luaran yang lebih dinamik, di mana varian Fortuner 2.8 VRZ kini mendapat lampu utama Quad LED, gril bercorak mesh di tengah, selain rekaan bampar depan dan belakang dengan sentuhan baharu dan dikemaskan dengan pemasangan skid plate hadapan.

 


Apa yang membezakan antara Fortuner 2.8 VRZ dengan varian terendah adalah penampilan bumbung, tiang A, perumah cermin sisi, serta spoiler bumbung yang dilayangkan warna hitam.

Secara standard, kedua-dua varian datang dengan rim aloi bersaiz 18 inci dengan rekaan baharu.

 


Ruang kabin Fortuner 2021 facelift menerima beberapa ciri seperti paparan Multi Information Display (MID) dengan animasi permulaan, sistem pencahayaan ambien, cermin pandang belakang elektrokromatik, slot pengecasan USB dan tempat duduk hadapan dengan larasan lapan hala berkuasa elektrik.

Pembeli juga boleh mendapatkan ciri opsyen seperti slot pengecasan nirwayar, bukaan pintu belakang dengan gerak kaki, serta perakam video digital belakang.

 


Kemaskini trenkuasa yang didatangkan pada Toyota Hilux kini boleh dinikmati menerusi varian Fortuner 2.8 VRZ yang tampil dengan enjin diesel turbo 1GD-FTV 2.8 liter yang menghasilkan 204 PS dan 500 Nm.

Enjin itu telah ditala semula bagi mengurangkan gegaran, kebisingan, selain mencapai penjimatan dan kecekapan tinggi menerusi sistem suntikan yang mampu menyuap bahan api dalam tekanan tinggi sehingga 250 MPa.

Selain daripada itu, Fortuner 2021 kini juga didatangkan dengan kawalan aliran boleh ubah (VFC) pada stereng kuasa yang membantu memberikan kawalan yang lebih natural selain membantu menjimatkan penggunaan bahan api, atau rasa pemanduan yang lebih mengujakan menerusi mod Sport.

 


Sistem pacuan 4x4 didatangkan dengan kemampuan shift-on-the-fly yang membolehkan pemandu mengaktifkan pacuan 4x4 tanpa perlu berhenti, dan keupayaan pemanduan off-road yang dipertingkat dengan Kawalan Cengkaman Aktif (A-TRC) dan Auto Limited Slip Differential (LSD).

Aspek keselamatan pada Toyota Fortuner 2021 turut dipertingkatkan dengan kelengkapan Toyota Safety Sense (TSS) yang merangkumi:

  • Sistem Pra-Pelanggaran (PCS)
  • Amaran Penukaran Lorong (LDA)
  • Kawalan Pelayaran Radar Dinamik (DRCC) dengan fungsi Yaw Assist

Toyota Fortuner 2021 ditawarkan pada harga bermula dari RM172,244 untuk varian 2.7 SRZ, manakala varian Fortuner 2.8 VRZ pula bermula dari RM203,183, di mana kedua-dua varian didatangkan dengan jaminan lima tahun tanpa had perbatuan.

Selang masa penukaran minyak enjin kini boleh dibuat pada setiap 10,000 km atau enam bulan (yang mana terdahulu) berbanding setiap 5,000 km atau tiga bulan.

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Dibina di atas platform E-GMP, ia juga lebih kecil berbanding dengan EV6 yang sudah dijual di…
Berita Domestik
Kini, jenama itu sedia untuk meluaskan kehadirannya di pasaran pemanduan sebelah kanan global…
Model Terbaharu
Berbekalkan teknologi canggih, reka bentuk dan prestasi luar biasa, BYD SEAL menjadi antaraa salah…