Terbaharu, hot hatch Corolla tersebut kini mendapat versi yang dikenali sebagai Morizo Edition, dan sebagai makluman, Morizo merupakan nama samaran yang digunakan oleh Presiden Toyota, Akio Toyoda semasa berlumba di atas litar!
Berbanding dengan model 'standard' GR Corolla dan Circuit Edition, GR Corolla Morizo Edition mendapat beberapa penambahbaikan dan naiktaraf untuk menjadi sebuah senjata ampuh di atas litar lumba.

Enjin asal tiga silinder sebaris 1.6 liter turbo masih lagi kekal dengan kuasa 300 hp, namun daya kilas telah dipertingkatkan kepada 400 Nm.
Sistem transmisi asal dengan nisbah rapat enam kelajuan itu turut ditala semula bagi menambahbaik aspek pecutan, diikuti dengan talaan suspensi dan penyerap hentak tiub tunggal berwarna merah untuk pengendalian yang lebih jitu.
Selain itu, GR Corolla Morizo Edition turut mendapat diet pengurangan berat badan, di mana ia kini 45 kg lebih ringan berbanding model Circuit Edition.

Antara yang dibuang keluar termasuklah kerusi baris kedua, pembesar suara pada pintu belakang, alat kawalan tingkap belakang, penyeka kaca belakang sebelum dipasangkan dengan rim baharu bersaiz 18 inci yang dibaluti tayar Michelin Pilot Sport Cup 2.
Menambahkan lagi keringanan GR Corolla Morizo Edition ini termasuklah penggunaan bumbung gentian karbon, hud aluminium dan panel pintu hadapan aluminium.
Untuk ruang kabin, GR Corolla Morizo Edition mendapat kemasan trim merah dan hitam pada bahagian pemegang pintu, roda stereng serta corong pendingin hawa sisi, diikuti dengan kemasan upholsteri kulit sintetik dengan jahitan merah serta suede Brin Naub.

Setakat ini, tiada sebarang tanda harga didedahkan untuk model GR Corolla Morizo Edition.