Naiktaraf terbaharu ini menawarkan sokongan Apple CarPlay (sambungan wayar) yang memudahkan pemilik peranti iOS menghubungkan peranti mereka kepada sistem infotainmen Supra ini, selain daripada ciri USB dan Bluetooth.
Untuk memastikan penumpang kekal terhibur sepanjang perjalanan, GR Supra didatangkan dengan sistem JBL HiFi Surround Sound dengan 12 pembesar suara untuk pengalaman audio yang lebih baik.

Dalam kemaskini terdahulu, GR Supra diberikan peningkatan kuasa sebanyak 14 peratus kepada 388 PS, serta daya kilas 500 Nm yang kini masuk antara julat putaran enjin 1,800-5,000 rpm, terima kasih kepada talaan semula yang dibuat, serta pengubahsuaian manifold ekzos untuk pengurusan haba enjin yang lebih berkesan.
Peningkatan kuasa ini membolehkan GR Supra memecut sepantas 4.1 saat dari 0-100 km/j, atau 0.2 saat lebih pantas berbanding konfigurasi terdahulu.

Sebagai sebuah kereta pantas, GR Supra tidak lokek dengan pelbagai ciri keselamatan aktif seperti amaran pelanggaran hadapan, amaran penukaran lorong, kawalan jelajah adaptif, bantuan suluhan tinggi dan informasi papan tanda jalan.
Harga jualan Toyota GR Supra bermula dari RM589,987 (termasuk pengecualian cukai SST 50 peratus), dan boleh ditempah di kesemua bilik pameran rasmi Toyota GR Garage di seluruh negara.