Toyota GR Supra kini terima talaan AC Schnitzer!

oleh Mohamad Hanif|
Firma penala yang sinonim dengan jenama mewah BMW kini meluaskan sentuhan mereka kepada sebuah model yang bukan jenama BMW, iaitu Toyota GR Supra.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

Memandangkan Toyota GR Supra memiliki banyak persamaan dan perkongsian komponen dengan BMW Z4, tidak menghairankan sekiranya pihak AC Schnitzer menawarkan pakej talaan yang sama kepada kereta sports Toyota tersebut. 

Ini sekaligus menjadikan Toyota GR Supra kenderaan pertama bukan BMW yang menerima talaan AC Schnitzer.

 


Pakej talaan AC Schnitzer dimulakan dengan unit kuasa enam silinder sebaris 3.0 liter turbo, di mana mereka berjaya mengekstrak kira-kira 394 kuasa kuda dan 600 Nm berbanding kuasa asal 335 hp dan 500 Nm itu. 

Talaan tersebut diteruskan dengan pemasangan peredam bunyi sports pada penghujung sistem ekzos di mana para pelanggan boleh memilih bahan keluli hitam teranod tahan karat ataupun komponen daripada gentian karbon. 
 


Aspek pengendalian pula dipertingkat dengan talaan kepada sistem suspensi coil-over RS dengan beberapa tetapan ketinggian, rebound dan tekanan untuk disesuaikan dengan kondisi semasa. 

Dengan talaan ini, Toyota GR Supra mampu duduk setinggi 25 mm dari aras tanah, menjadikan titik graviti lebih rendah, dan pengendalian di selekoh yang lebih baik.
 


Bagi mereka yang sekadar inginkan Toyota GR Supra lebih rendah tanpa sebarang tetapan yang memeningkan, AC Schnitzer juga turut menawarkan set spring suspensi yang mampu merendahkan ketinggian sebanyak 15 mm.

Rupa keseluruhan Toyota GR Supra disempurnakan dengan pemakaian rim AC1 Light Alloy Rim atau rim AC3 Lightweight Forged Wheels di mana kedua-duanya didatangkan dengan saiz 20 inci. 
 


Kit badan pula merangkumi splitter hadapan yang diperbuat daripada bahan AcryInitril-Sytrol-Acrylester (ASA), sayap belakang dengan flap Gurney dan cagak aluminium, serta liang udara bonet tiga segi yang diperbuat daripada gentian karbon. 

Ruang dalaman juga tidak ketinggalan menerima peralatan yang diperbuat daripada aluminium seperti pedal penukar gear, set pedal dengan perehat kaki, ruang pemegang kunci dan juga pelindung untuk iDrive System Controller. 
 

Berita Berkenaan

Berita Global
Dari segi kuasa, M3 Touring standard mampu menghasilkan kuasa setinggi 503 hp dan 650 Nm, namun…
Berita Global
Menerusi projek ini, AC Schnitzer mahu membuktikan tidak mustahil untuk melakukan modifikasi…
Berita Global
Kini, syarikat talaan yang berpusat di Aachen itu mengorak langkah baharu dengan menawarkan pakej…