Toyota Highlander generasi keempat - dimensi lebih besar, lebih ciri keselamatan ditawarkan

oleh Mohamad Hanif|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

SUV bersaiz pertengahan daripada Toyota, Highlander kini sudah memasuki generasi keempat apabila ia dilancarkan baru-baru ini di New York Auto Show 2019.

Membawakan banyak elemen rekaan luaran yang dipinjamkan daripada adiknya Toyota RAV4, Toyota Highlander dibangunkan atas platform serba baharu yang digelar Toyota New Global Architecture (TNGA-K).

Platform ini menjanjikan Highlander lebih besar dimensinya, lebih selamat, lebih selesa dan kualiti binaan yang tinggi. 


Highlander 2020 dibangunkan untuk menjadi sebuah SUV yang mesra pengguna, oleh itu ia mempunyai dimensi panjang 60 mm tambahan berbanding model terdahulu, dan penambahan ini membolehkan lebih banyak ruang dicapai antara tempat duduk baris kedua dan ketiga.

Menyebut soal tempat duduk, Highlander didatangkan dengan konfigurasi sehingga lapan orang pada satu-satu masa (trim L dan LE), manakala varian XLE, Limited dan Platinum hadir dengan kerusi kapten pada baris kedua (tujuh tempat duduk). 

Ruang kargo pula boleh memuatkan sehingga 456 liter muatan dan boleh membesar sehingga 2,075 liter apabila kerusi baris kedua dan ketiga dibaringkan. 
 


Toyota masih mengekalkan khidmat enjin terdahulu iaitu V6 bersesaran 3.5 liter yang mampu menghasilkan 295 kuasa kuda. 

Namun, bagi mereka yang inginkan sistem hibrid, Toyota Highlander turut ditawarkan dengan trenkuasa yang diambil daripada RAV4, terdiri daripada enjin empat silinder yang digandingkan dengan dua motor elektrik dan kuasa sekitar 240 hp. 

Versi hibrid ini mampu memberikan lebih penjimatan penggunaan bahan api sekitar 6.9 liter/100 km, berbanding enjin V6 hibrid pada Highlander terdahulu (8.4 liter/100 km).

Kuasa tersebut boleh disalurkan kepada konfigurasi dua roda atau pacuan semua roda dengan mod pemanduan seperti Normal, Eco dan Sport, serta mod khas untuk off-road seperti Mud & Sand atau Rock.
 


Memasuki ruang kabin, binaan papan pemuka dan upholsteri daripada bahan sentuhan lembut banyak mempengaruhi rekaan dalaman dan diselangi dengan lampu pencahayaan malap jenis LED. 

Peralatan standard yang dilengkapkan termasuklah sistem multimedia bersaiz 8 inci dengan sambungan Apple CarPlay, Android Auto, dan Alexa in-Car, kawalan iklim tiga zon, lampu membaca, lampu kargo, tingkap privasi untuk penumpang belakang dan kunci pintar. 

Varian Platinum pula lebih banyak ciri yang dilengkapkan seperti sistem head-unit 12.3 inci, rim 20 inci, lampu utama boleh laras automatik, tempat duduk baris kedua dengan pemanas terbina dalam, bumbung suria panoramik, kamera keliling dan tempat duduk kulit berliang.
 


Dari segi keselamatan, Toyota Safety Sense 2.0 hadir dengan ciri seperti Pemantauan Titik Buta, Amaran Lintasan Trafik Belakang didatangkan secara standard, manakala Brek Automatik Belakang dengan ciri bantuan sonar, dan kamera keliling Birds Eye pula dikhaskan untuk varian lebih premium.
 

Berita Berkenaan

Berita Global
Toyota juga sebelum ini diberitakan akan membawakan nama Crown untuk diabadikan sebagai sebuah…
Berita Global
Dibangunkan daripada platform TNGA-K, Toyota Highlander memiliki dimensi panjang 4,950 mm yang…
Berita Global
  Model itu diperkenalkan di New York pada April 2019 dan tampil dengan reka bentuk ekspresif.…