“Siasatan awal mendapati kenderaan curi tersebut dijual semula sama ada di dalam negara atau di negara jiran.
“Selain itu, ada juga kenderaan-kenderaan yang dicuri itu dileraikan sebelum komponennya dijual kerana terdapat permintaan daripada pembeli,” katanya kepada Kosmo! pada Ahad lalu.
Menurut sumber itu, harga sebuah trak pikap curi dianggarkan mencecah RM100,000.
Jelasnya, trak pikap mendapat permintaan yang tinggi dalam kalangan pembeli di pasaran gelap kerana fizikalnya yang tahan lasak dan sesuai digunakan di kawasan muka bumi yang berbukit bukau.
Dalam operasi sama, JSJ Bukit Aman turut menahan seramai 1,225 individu dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri kenderaan. Mereka yang diberkas berusia 35 hingga 50 tahun.
Polis turut menumpaskan dua kumpulan yang aktif mencuri kenderaan di negara ini dan dipercayai mempunyai rangkaian dengan sindiket jenayah sama di luar negara.
Mengulas lanjut, sumber itu memaklumkan, terdapat kaedah baharu yang digunakan oleh anggota sindiket mencuri kenderaan untuk menembusi sistem keselamatan kenderaan yang canggih.
“Mereka (sindiket) menggunakan gajet khas yang mampu ‘melumpuhkan’ sistem keselamatan kenderaan sedia ada sebelum ia dicuri. Gajet tersebut juga mampu digunakan untuk membuat kunci pendua.
“Sebelum dijual, sindiket akan meletakkan kenderaan curi di lokasi terpencil sebelum diambil pihak ketiga. Urusan jual beli pula akan diserahkan kepada orang tengah untuk memenuhi permintaan pasaran,” katanya.
Sejak Januari hingga April tahun ini, sebanyak 6,709 kertas siasatan dibuka oleh JSJ bagi kes kecurian kenderaan.
Selain kenderaan, polis merampas wang tunai sebanyak RM502,865.
Dengan penahanan dan rampasan itu, JSJ Bukit Aman percaya dapat menyelesaikan sebanyak 1,658 kes. Sebanyak 639 kes atau 9.5 peratus kertas siasatan sudah dituduh di mahkamah.