Toyota Innova 2021 rasmi dilancarkan - bermula dari RM111,622

oleh Mohamad Hanif|
UMW Toyota Motor Sdn Bhd secara rasmi melancarkan model facelift Toyota Innova 2021 dengan beberapa peningkatan dari segi penampilan luaran, serta penambahan ciri keselamatan.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Dari segi penampilan luaran, Innova 2021 didatangkan dengan kemasan krom danhitam pada bahagian gril, diikuti cermin sisi dengan kemasan warna krom, serta penampilan lampu kabus rekaan baharu.

 

 


Untuk Innova 2.0X pula diberikan pakej Enhancement yang merangkumi rekaan cladding plastik pada bahagian arca roda, skirting sisi, kemasan pada tailgate dan spoiler bumbung yang telah diprofilkan semula.

Innova 2021 facelift ini didatangkan dengan set rim bersaiz 16 inci dan tayar 205/65R16 (untuk varian Innova 2.0G dan 2.0E), sementara varian 2.0X pula hadir dengan rim aloi bersaiz 17 inci dengan tayar 215/55R17.

 

 


Memasuki ruang kabin pula, paparan meter Optitron dan Multi Information Display (MID) bersaiz 4.2 inci kini menjadi ciri standard untuk varian 2.0X dan 2.0G, selain ciri praktikaliti seperti lebih banyak slot pengecasan USB, serta slot pengecasan peranti pintar nirwayar sebagai ciri opsyen.

Selain daripada ciri bertaraf kosmetik, UMW Toyota turut membawakan tambahan ciri keselamatan seperti paparan informasi titik buta (BSM) dan Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA) sebagai ciri standard pada Innova 2.0X dan 2.0G, serta opsyen untuk dimuatkan pada varian 2.0E.

Melengkapi ciri keselamatan tersebut adalah ciri Peninjau Pandangan Panoramik yang memamparkan imej 360 darjah dengan menggunakan kamera disekeliling kenderaan.

 


Ciri keselamatan pasif yang dilengkapkan termasuklah tujuh beg udara SRS, ABS, EBD, Bantuan Brek, Kawalan Kestabilan Kenderaan dan Bantuan Mula Mendaki, membolehkan Innova mencapai penarafan lima bintang menerusi ujian ASEAN NCAP.

Ciri Toyota Vehicle Telematics System (VTS) turut disediakan bagi mengesan pergerakan kenderaan menggunakan teknologi GPS dan GSM, amat berguna sekiranya pemilik ingin mengesan kenderaan yang dicuri.

Dari segi kuasa, Toyota Innova masih mengekalkan enjin empat silinder sebaris 2.0 liter 1TR-FTE yang menghasilkan 139 PS dan 183 Nm yang memacu roda belakang menerusi transmisi automatik enam nisbah kelajuan.

 


Terdapat enam warna pilihan iaitu Medium Silver Metallic, Attitude Black Mica, Phantom Brown, Silver Metallic, Super White II dan Bronze Mica Metallic (baru) serta warna tambahan Crimson Spark Red Metallic untuk Innova 2.0X.

Harga jualan untuk setiap varian adalah seperti berikut:

  •     Toyota Innova 2.0X – Dari RM129,677.00
  •     Toyota Innova 2.0G – Dari RM121,483.00
  •     Toyota Innova 2.0 E – Dari RM111,622.00