Toyota Innova Zenix 2023 - platform TNGA-C, dua varian, dari RM165,000

oleh Mohamad Hanif|
UMW Toyota Motor hari ini secara rasmi mengumumkan ketibaan model crossover MPV generasi baharu, Toyota Innova Zenix 2023.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Berbanding generasi terdahulu yang menggunakan pelantar ladder-frame, Innova Zenix membawakan perubahan besar dengan menggunakan platform TNGA-C, casis monocoque, serta peralihan daripada sistem pacuan roda belakang (RWD) kepada sistem pacuan roda depan (FWD).

Bukan itu sahaja, Innova Zenix juga kini ditawarkan dengan pilihan trenkuasa hibrid sebagai alternatif kepada trenkuasa petrol.
 

innova


Dari segi dimensi, Innova Zenix membawakan ukuran sepanjang 4,760 mm (+20 mm), lebar 1,850 mm (+15 mm), tinggi 1,795 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,850 mm (+10 mm), dan 170 kg lebih ringan berbanding Innova lama.

Biarpun perubahan dimensi tidak begitu besar, Innova Zenix menjanjikan ruang kabin yang lebih luas, terima kasih kepada penggunaan platform yang lebih moden di mana kelebaran ruang kabin bertambah 550 mm sementara panjang lantai bertambah sebanyak 86 mm.

Selain itu, ia juga membawakan jarak kelegaan tanah setinggi 185 mm, dengan putaran radius sekecil 5.67 meter.
 

innova


Innova Zenix membawakan gandingan suspensi topang MacPherson di depan dan torsion beam di belakang yang telah ditala untuk keselesaan perjalanan pulang ke kampung.

Terdapat dua varian Innova Zenix yang ditawarkan untuk pasaran Malaysia.
 

M20A-FKS
M20A-FXS


Innova 2.0 V dengan konfigurasi lapan tempat duduk dijana dengan enjin 2.0 liter Dynamic Force (M20A-FKS) menghasilkan 174 PS @ 6,600 rpm dan daya kilas 205 Nm @ 4,500-4,900 rpm yang dipadankan dengan transmisi Direct Shift CVT 10 nisbah kelajuan dengan fungsi Sequential Shiftmatic.

Sementara Innova Zenix 2.0 HEV (tujuh tempat duduk) pula membawakan enjin hibrid 2.0 liter Dynamic Force (M20A-FXS) berkuasa 152 PS @ 6,000 rpm, daya kilas 188 Nm @ 4,400-5,200 rpm, dipadankan dengan motor elektrik dan pek bateri NiMH (nickel-metal hydride) 6.5 Ah dengan sistem pengecasan kendiri.

Secara keseluruhan, Innova Zenix 2.0 HEV mampu menghasilkan 186 PS maksimum, dibantu dengan sistem transmisi E-CVT.
 

innova


Selain daripada tiga mod pemanduan, Innova Zenix 2.0 HEV turut mempunyai mod EV yang membolehkan MPV ini dipandu dalam keadaan sifar emisi pada jarak dekat.

Reka bentuk luaran Innova Zenix membawakan tema 'Premium & Tough', disumbangkan dengan penampilkan jeriji radiator trapezium, unit lampu LED, rim aloi bersaiz 18 inci, serta pemasangan cladding plastik pada arka roda.

Bahagian belakang pula membawakan susun atur yang tipikal pada model-model moden Toyota, disusuli dengan lampu kombinasi LED (kecuali lampu membelok dan undur).
 

innova


Masuk ke dalam ruang kabin, anda akan disambut dengan susun atur papan pemuka yang lebih moden, dibantu dengan penggunaan bahan yang lebih premium.

Terdapat skrin paparan instrumen MID bersaiz tujuh inci berwarna penuh, diikuti dengan skrin sentuh tengah bersaiz 10.1 inci, sokongan Apple CarPlay (tanpa wayar) dan Android Auto (berwayar), kawalan iklim automatik, corong pendingin hawa untuk penumpang belakang, serta kehadiran slot pengecasan USB dan soket kuasa 12V yang tersedia.

Pada konsol tengah yang agak tinggi itu turut menempatkan batang penukaran gear, brek parkir elektronik, serta butang pilihan mod pemanduan termasuklah mod EV yang disebutkan tadi.
 

innova


Tidak seperti Innova Zenix 2.0V, Innova Zenix HEV datang dengan konfigurasi tempat duduk kapten pada baris tengah, dilengkapi dengan meja sisi, serta dibekalkan dengan ciri bumbung suria panorama secara standard.

Dari segi keselamatan, Toyota Innova Zenix merupakan model pertama Toyota yang dilengkapi dengan pakej Toyota Safety Sense 3.0 merangkumi:
• Sistem Pra-Pelanggaran (PCS)
• Kawalan Jelajah Radar Dinami (DRCC)
• Bantuan Suluhan Tinggi (AHB)
• Amaran Keluar Lorong (LDA)
• Bantuan Pengesanan Lorong (LTA)
• Bantuan Papan Tanda (RSA).

Selain daripada itu, Zenix baharu turut dilengkapi dengan sistem Pemantauan Titik Buta (BSM), Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA), Sistem Pemantauan Panorama (PVM), Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), brek ABS, Kawalan Mendaki Bukit (HAC), Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS), serta enam beg udara SRS.
 

innova


Harga jualan bermula dari RM165,000 untuk varian 2.0 V, sementara varian 2.0 HEV pula dijual pada harga RM202,000 (atas jalan tidak termasuk insurans).