Toyota kekal sebagai jenama automotif paling bernilai untuk tahun 2020

oleh Mohamad Hanif|
Jenama Toyota tidak perlu diberikan pengenalan lagi dari segi tahap kepuasan pelanggan, serta jenama yang paling bernilai di peringkat global, kerana itu merupakan 'makanan ruji' syarikat yang berasal dari Jepun itu.

Dan berdasarkan kajian terbaharu jenama yang paling bernilai untuk tahun 2020 BrandZ (BrandZ Top 100 Most Valuable Brands) menyaksikan walaupun turun 3 peratus berbanding tahun lalu, Toyota kekal sebagai jenama automotif yang paling bernilai di dunia, dengan kedudukan tangga ke-48 daripada 100 buah jenama.

Merujuk kepada kajian itu lagi, hanya tiga jenama automotif yang berjaya menduduki kedudukan 100 yang pertama, di mana Mercedes-Benz dan BMW masing-masing berjaya memperoleh kedudukan ke-56 dan 61.

Jenama lain yang pernah tersenarai seperti Ford dan Honda kini terkeluar daripada senarai kedudukan 100 teratas setelah masing-masing hilang 10 peratus dan 15 peratus jika dibandingkan dengan tahun 2019.

 


Jika dinilai kedudukan 10 jenama automotif teratas, hanya nilai Tesla mencatatkan peningkatan sebanyak 22 peratus kepada $11.35 bilion, manakala Nissan mencatatkan kejatuhan nilai paling tinggi iaitu sebanyak 18 peratus kepada $8.66 bilion, diikuti oleh Honda (14 peratus), Audi (14 peratus) dan BMW (12 peratus).

Sementara itu, diluar sektor automotif, jenama yang mencatatkan nilai tertinggi ($415.8 bilion) untuk tahun 2020 ialah Amazon yang mengekalkan posisi daripada tahun lalu dengan peningkatan sebanyak 32 peratus.

Selepas Amazon, Apple menduduki tangga kedua diikuti oleh Microsoft yang berjaya merampas kedudukan ketiga daripada Google.

Sumber: Automotive News

Add new comment