SUV off-road olskool itu masih lagi menampilkan penggayaan yang retro, namun disulami dengan beberapa teknologi moden selari dengan perkembangan zaman.
Berita menarik, anda kini boleh mendapatkan sebuah lagi bentuk badan Land Cruiser 70 Series selain wagon dan trak pikap, iaitu SUV 3-Door.
Sayang sekali, ia hanya muncul di pasaran UAE sahaja buat masa ini.
Dari segi dimensi, LC70 3-Door ini membawakan ukuran sepanjang 4,235 mm, atau 640 mm lebih pendek berbanding versi lima pintu.
Selain daripada elemen rekaan yang sama seperti adik-beradiknya yang lain, LC70 3-Door ini turut membawakan rim aloi bersaiz 16 inci yang dibaluti tayar berprofil tinggi.
Ruang kabin pula membawakan kemasan balutan upholsteri kulit Nubuck dan sintetik, sistem infohibur sebesar sembilan inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, sistem audio dengan dua pembesar suara, dan tingkap berkuasa.
Terdapat juga beberapa ciri bantuan pemandu termaju (ADAS) termasuklah Bantuan Keluar Lorong dan Sistem Pra-Pelanggaran, walaupun hanya dua beg udara saja tersedia.
Di UAE, LC70 3-Door ini dikuasakan oleh nadi bentangan V6 4.0 liter (1GR-FE) dengan hamburan kuasa 228 hp dan 360 Nm, dipadankan dengan sistem pacuan empat roda 4WD menerusi transmisi automatik Super ECT enam kelajuan.
Hanya ada satu varian sahaja ditawarkan, dengan harga jualan bermula dari AED 169,000 (RM213,867).
Selain daripada LC70 3-Door, pembeli di sana masih boleh mendapatkan versi SUV 5-Door dan trak pikap kabin tunggal.