Toyota Land Cruiser Prado 2024 kembali, platform GA-F, rekaan klasik moden

oleh Mohamad Hanif|
Setelah beberapa tahun Land Cruiser Prado 'menyepi', Toyota akhirnya secara rasmi mendedahkan model generasi baharu Prado 250 Series.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Kehadiran model SUV off-road baharu itu dilihat mampu mengisi ruang kosong di antara model Land Cruiser 70 Series yang klasik, serta Land Cruiser 300 Series yang lebih moden itu.
 

prado


Ia juga dikatakan akan dilancarkan di pasaran Jepun pada separuh pertama tahun 2024 dan dijual bersama-sama dengan model 70 Series dan 300 Series yang sangat laku itu.

Berikut merupakan informasi ringkas berkenaan Land Cruiser 250 Series:

 

1. Platform TNGA-F

prado


Land Cruiser 250 Series ini berkongsi platform TNGA-F dengan model 300 Series, bertujuan untuk meningkatkan lagi keupayaan off-road SUV tersebut.

Platform ini menjanjikan peningkatan ketegaran kerangka sebanyak 50 peratus dan ketegaran keseluruhan meningkat 30 peratus.

Selain daripada artikulasi suspensi yang ditambahbaik, Land Cruiser Prado turut dilengkapi dengan sistem stereng berkuasa elektrik (EPS), sistem Multi-Terrain Monitor dan Multi-Terrain Select, serta fungsi Stabilizer Disconnect Mechanism (SDM) yang pertama kali muncul pada model Toyota.

Sistem SDM itu boleh mengubah keadaan penstabil hadapan untuk prestasi pemanduan dan keselesaan di laluan off-road, serta kestabilan di atas jalan raya.

 

2. Pelbagai pilihan trenkuasa

prasdo


Bergantung kepada pasaran, Land Cruiser Prado 2024 ini boleh didapati dengan pelbagai pilihan enjin.

Pasaran Amerika dan China bakal mendapat nadi hibrid 2.4 liter T24A-FTS berkuasa 330 PS dan 630 Nm, dipadankan dengan transmisi automatik Direct-Shift lapan kelajuan.

Pasaran Timur Tengah dan Eropah Timur pula dijangka menerima nadi T24A-FTS bukan hibrid berkuasa 281 PS dan 430 Nm, sementara pasaran Jepun pula mendapat enjin asas 2.7 liter 2TR-FE berkuasa 163 PS dan 246 Nm, dipadankan dengan transmisi Super-ECT.

Di Australia, Prado dijangka menerima nadi Hilux 2.8 liter turbo diesel 1GD-FTV berkuasa 204 PS dan 500 Nm, dengan gandingan sistem hibrid ringan 48V dan transmisi Direct-Shift 8AT.

Akhir sekali, enjin yang sama tanpa sebarang bantuan turbo (1GD-FTV) juga boleh didapati di pasaran Eropah Timur dan Barat, Timur Tengah, serta pasaran Jepun.

 

3. Rekaan klasik moden

prado


Sama seperti model Lexus GX yang telah diperlihatkan sebelum ini, Land Cruiser Prado 2024 mendapat rekaan cermin hadapan yang rata, diikuti dengan rekaan bampar bersegmen yang mampu memudahkan urusan pembaikan dibuat.

Bergantung kepada trim, Land Cruiser Prado boleh didapati dengan pilihan lampu bulat LED, atau lampu berbentuk segi empat seperti model FJ62.

Rekaan bahagian belakang lebih ringkas dengan kehadiran lampu bersegi, sementara tayar simpanan pula diletakkan kemas pada bawah bampar belakang.

 

4. Dimensi

prado


Land Cruiser Prado membawakan ukuran sepanjang 4,925 mm dengna penambahan dimensi 100 mm, lebar 1,980 mm (+95 mm), tinggi 1,870 mm (+20 mm) dengan jarak antara roda sepanjang 2,850 mm (+60 mm).

Selain daripada itu, Land Cruiser 2024 ini mempunyai jarak lega bumi 220 mm, diikuti sudut pendekatan 31 darjah, sudut pelepasan 22 darjah dan sudut breakover 25 darjah.

 

5. Toyota Safety Sense yang terkini

prado


Sama seperti model Toyota moden yang lain, Toyota Land Cruiser Prado 2024 turut dilengkapi dengan pakej keselamatan termaju Toyota Safety Sense dengan ciri yang dipertingkatkan untuk semua varian seperti berikut:
• Kawalan Jelajah Adaptif
• Pengekalan Lorong Tengah
• Brek Kecemasan Automatik
• Pengelakan Keluar Lorong
• Sistem Pemantauan Titik Buta

 

6. Ruang kabin

kabin


Secara standard, Land Cruiser Prado mendapat skrin sentuh sebesar 8 inci (atau 12.3 inci untuk trim yang lebih premium), ciri pemanas tempat duduk dan roda stereng, upholsteri kulit Softex untuk trim pertengahan atau kulit tulen untuk model premium.

Di bahagian konsol tengah menempatkan beberapa butang fungsi yang dikhususkan untuk pemanduan off-road, termasuklah tuil pemilihan H4/L4, pembeza kekunci tengah atau belakang, SDM, kawalan kestabilan serta pemilihan mod pemanduan.