Kehadiran dua model ini turut mendapat sambutan yang memberangsangkan, di mana Ford sendiri terpaksa menghentikan tempahan bagi model Maverick pada awal tahun lalu disebabkan oleh permintaan yang terlalu tinggi.
Melihatkan kepada potensi yang ada, ia ternyata menarik minat Toyota untuk menyertai semula segmen trak pikap kompak tersebut.
Toyota sebelum ini menawarkan trak pikap Tacoma generasi pertama yang duduk di dalam segmen kompak, sebelum beralih kepada segmen trak pikap saiz pertengahan pada tahun 2004 menerusi model generasi kedua.
Menurut Naib Presiden Kanan Operasi Automotif Toyota Motor North America, Jack Hollis memberitahu laman Automotive News, masih wujud ruang untuk menawarkan sebuah model kompak di bawah Tacoma.
"Persoalannya, bagaimana mahu mengisi kekosongan tersebut?"
Sementara itu, Cooper Ericksen selaku naib presiden kumpulan perancangan dan strategi produk Toyota Motor North America berkata, "tidak dapat dinafikan lagi produk (trak pikap kompak) tersebut masih mempunyai tempat di pasaran. Dan berapa besar pula pasaran segmen tersebut bakal peroleh?
"Saya tidak tahu, namun ia sesuatu yang harus kami teliti dan fikirkan sama ada ia berbaloi untuk kami ceburi semula," jelasnya.
Toyota pada ketika ini mempunyai dua model trak pikap untuk pasaran Amerika Syarikat, iaitu Toyota Tacoma (saiz pertengahan) dan Toyota Tundra (trak pikap saiz penuh).
Sumber: Automotive News