Toyota mahu perkenal kotak gear manual untuk EV menjelang 2026

oleh Mohamad Hanif|
Tatkala pengeluar lain sibuk membangunkan perisian yang boleh menjadikan pemanduan kereta elektrik lebih ‘hidup’, Toyota pula mempunyai pendekatan yang berbeza, dan lebih konvensional.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Ini kerana dalam perkembangan terbaharu, Toyota merancang untuk memperkenalkan kereta elektrik yang dilengkapi dengan kotak gear manual menjelang tahun 2026.

Perkara tersebut diumumkan semasa acara Toyota Technical Workshop 2023 berlangsung baru-baru ini.

Menurut presiden divisi BEV Factory Toyota, Takero Kato berkata, matlamat mereka adalah untuk menawarkan para pelanggan mereka satu pengalaman yang lebih mengujakan.

 


Ini bukanlah satu perkara baharu, memandangkan sebelum ini Toyota pernah tampil dengan idea yang sama menerusi projek AE86 Carbon Neutral, awal tahun yang lalu.

Salah satu daripada AE86 yang digunakan itu bukan sahaja dilengkapi dengan trenkuasa elektrik, malah ia turut menampilkan kotak gear manual sama seperti kereta asal!

Menurut Toyota, BEV bertransmisi manual itu akan didatangkan dengan kelengkapan yang sama seperti kereta manual sebenar, termasuklah pedal klac dan batang penukaran gear.
 

EV


Selain daripada itu, EV itu juga akan membawakan iringan bunyi palsu yang bersesuaian termasuklah pemetaan khas untuk pengedaran kuasa, serta fungsi ‘mematikan’ operasi kereta apabila klac tidak digunakan dengan sebaiknya.

Sebagai makluman, generasi baharu BEV Toyota dijangka akan lahir daripada platform modular dengan teknologi bateri baharu yang menjanjikan jarak gerak sehingga 1,000 km, selain menyokong ciri kepintaran buatan serta kemaskini over-the-air.

Dalam satu laporan oleh The Wall Street Journal, Toyota kini sedang mengkaji respon para pelanggan, serta kesanggupan mereka untuk membeli sebuah EV yang boleh menawarkan karakter yang sama seperti kereta berenjin pembakaran dalaman (ICE).

Berdasarkan faktor yang disebutkan tadi, baharulah Toyota akan menentukan sama ada EV bertransmisi manual itu sesuai untuk dikomersialkan ataupun tidak.