Toyota Mirai 2024 Amerika Syarikat, teknologi FCEV, hidrogen percuma untuk pelanggan!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Toyota Mirai 2024
Toyota Mirai 2024
Kebelakangan ini Toyota semakin giat mengenengahkan strategi pelbagai laluan (multi-path way) ke arah neutral karbon.

Maknanya, Toyota tidak bergantung kepada kenderaan bateri elektrik sahaja tetapi turut merangkumi teknologi hibrid elektrik dan sel bahan api elektrik (FCEV).

Model terbaru yang menggunakan sel bahan api elektrik ialah Crown Sedan FCEV.

Sebelum itu, Toyota menggunakan Mirai sebagai pentas FCEV dengan generasi pertama dikeluarkan pada Disember 2014.
Toyota Mirai 2024

 

Mirai generasi kedua pula mengambil giliran pada Disember 2020. Mirai sebenarnya sudah ada di negara kita dan digunakan Kerajaan Sarawak.

Terbaru Toyota memperkemaskan Mirai untuk pasaran Amerika Syarikat dengan warna Elemental Silver baharu dan logo Beyond Zero.

Turut dilengkapi, teknologi bantuan pemanduan Toyota Safety Sense 3.0. Secara ringkas, Mirai adalah sebuah kenderaan elektrik tanpa plag.

Maknanya, pengguna di Amerika Syarikat atau Sarawak tidak perlu mengecas seperti BEV yang mengambil beberapa ketika untuk dicas.

 

Toyota Mirai 2024

 

Pengguna hanya perlu mengisi Mirai dengan hidrogen seperti yang dilakukan pada kenderaan petrol atau diesel.

Tidak perlu cas dengan plag, bagaimana dapat tenaga elektrik? FCEV menjana tenaga elektrik secara sendiri melalui hidrogen.

Sistem sel bahan api menggabungkan hidrogen yang disimpan dengan oksigen dari udara dan tindak balas kimia menghasilkan tenaga elektrik dan air dititiskan dari paip bawah kereta.

Tenaga elektrik yang dijana sel bahan api dan sistem pembrekan regeneratif disimpan di dalam bateri litium-ion.

 

Toyota Mirai 2024

 

Apabila pedal kelajuan Mirai ditekan, kuasa elektrik dari sel bahan api dan (atau) bateri mengagihkan kuasa kepada motor elektrik AC di belakang dan memacu roda belakang.

Pemampat udara elektrik memberi tekanan pada udara ambilan dan intercooler sejukan air mengurangkan suhu udara termampat sebelum memasuki stack sel bahan api.

Sistem ambilan direka bagi mengurangkan bunyi dan secara amnya tidak didengari penumpang.

Udara untuk sel bahan api harus ditulenkan dan pembersih udara elektrostatik ditugas untuk memerangkap zarah halus (Jirim Zarahan 2.5). Penapis arang menyingkir bahan kimia.

 

Toyota Mirai 2024

 

Mirai dibangunkan di atas pelantar premium GA-L Pacuan Roda Belakang (RWD) dan sebagai sebuah sedan sport mewah saiz sederhana.

Pacuan RWD menyumbang kepada pemanduan menyeronokkan dan membolehkan satu lagi atau tiga tangki hidrogen dipasang berbanding Mirai generasi pertama.

Pelantar GA-L yang mempunyai kekuatan tinggi dan ampaian pelbagai pautan canggih menjadi asas kepada pengendalian lincah serta pemanduan lancar dan senyap.

Kimpalan skru laser (LSW) dan perekat struktur yang digunakan pada model Toyota dan Lexus lain turut menyumbang kepada rasa pemanduan yang cemerlang di atas jalan.

 

Toyota Mirai 2024

 

Mirai juga dilengkapi Bantuan Selekoh Aktif yang menggunakan kawalan penstabilan bagi mengurangkan pembelokan kurang (understeer) di dalam keadaan tertentu.

Sebagai sebuah EV, Mirai mempunyai pekali seretan (Cd) 0.29.

Kadar itu bukan sahaja disumbang bentuk badan tetapi juga perincian lain seperti pengelap cermin yang diturunkan apabila tidak digunakan.

Panjang bercerita, berapa jauh Mirai boleh dipandu? 647 kilometer untuk Mirai XLE berdasarkan anggaran EPA Amerika Syarikat.

 

Toyota Mirai 2024

 

Satu lagi tawaran menarik, pelanggan yang memajak Mirai sebelum April 2024 akan menerima bekalan hidrogen percuma selama tiga tahun atau AS$15,000 (RM70,933).

Pelanggan yang memilih untuk membeli pula menerima bekalan hidrogen percuma selama enam tahun atau AS$15,000.

Mirai ditawarkan dalam dua varian dengan XLE berharga AS$50,190 (RM237,350) dan AS$67,155 (RM317,582) untuk Limited.

Penulis: Muhammad

 

Toyota Mirai 2024