
Pada penghujung 2024, Nissan dan Honda mengumumkan niat untuk meneroka penggabungan sebagai langkah strategik menghadapi cabaran industri automotif. Namun, rundingan tersebut dengan cepat menemui jalan buntu akibat perbezaan pendapat mengenai kawalan pengurusan. Nissan mahukan peranan yang lebih besar dalam membuat keputusan, sesuatu yang tidak dipersetujui oleh Honda. Akibatnya, rundingan tersebut berakhir tanpa kesepakatan.
Menurut laporan Automotive News, selepas kegagalan rundingan dengan Honda, seorang eksekutif dari Toyota menghubungi Nissan untuk menawarkan sokongan. Walaupun tiada pengumuman rasmi mengenai bentuk kerjasama antara kedua-dua syarikat, langkah ini menunjukkan kesediaan Toyota untuk membantu pesaingnya yang sedang menghadapi kesukaran
Toyota mempunyai sejarah mengambil pegangan minoriti dalam syarikat automotif Jepun lain sebagai strategi membina perikatan. Contohnya, Toyota memiliki pegangan kecil dalam Subaru, Mazda, Suzuki, dan Isuzu. Ia juga memiliki 50.1% saham dalam pengeluar trak Hino dan memiliki sepenuhnya Daihatsu sebagai anak syarikat. Oleh itu, jika Toyota mengambil pegangan dalam Nissan, ia bukanlah sesuatu yang luar biasa dalam strategi perniagaan mereka.
Selepas kegagalan rundingan dengan Honda, Nissan melantik Ivan Espinosa sebagai CEO baharu pada 1 April. Espinosa telah memperkenalkan pelan pemulihan agresif yang melibatkan pengurangan lebih 20,000 pekerjaan dan penutupan tujuh daripada 17 kilang pemasangan syarikat di seluruh dunia. Langkah-langkah drastik ini dianggap perlu untuk memastikan kelangsungan hidup Nissan.

Espinosa juga menyatakan bahawa beliau tidak akan tergesa-gesa mencari rakan kongsi baharu dan memberi keutamaan kepada usaha memulihkan Nissan dari dalam dengan plan perniagaan RE:Nissan yang baru dilancarkan. Namun, syarikat sedang menjalani semakan strategik untuk kemungkinan kerjasama pada masa hadapan.

Pada bulan Januari lalu, "[Nissan] tidak pernah mendekati Toyota untuk sebarang penggabungan," kata Toyoda kepada InsideEVs melalui jurubahasa. "Tapi kalau pun mereka ada mempertimbangkannya, ia sememangnya akan melanggar undang-undang anti-monopoli. Jadi mungkin mereka ada fikirkan, tapi akhirnya tak teruskan kerana perkara itu."
Sumber: Jalopnik