Toyota Prius PHEV 2023 dilancarkan di Jepun - nadi 2.0L, 223 PS, 30 km/L, dari RM151k

oleh Mohamad Hanif|
Toyota Prius generasi baharu kini sudah boleh didapati di pasaran Jepun dalam versi plug-in hybrid (PHEV) yang akan mula dijual bermula 15 Mac ini.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Seperti model Prius pasaran Eropah, Prius JDM PHEV dipadankan dengan nadi empat silinder sebaris 2.0 liter (kod M20A-FXS) yang mampu menjana kuasa keseluruhan maksimum 223 PS.

Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 6.7 saat, sementara bacaan penggunaan bahan api pula mampu mencecah 30.1 km/L (3.32 liter/100 km).
 

PHEV


Dengan sistem plug-in hybrid generasi kelima itu juga, Prius PHEV boleh bergerak dengan menggunakan kuasa elektrik 100 peratus sehingga 105 km (atau 87 km untuk model dengan rim 19 inci).

Selain daripada itu, panel solar yang terdapat pada bumbung Prius PHEV membolehkan kereta ini bergerak sejauh 1,250 km/tahun di dalam mod BEV.

Prius PHEV turut dilengkapi dengan ciri Regeneration Boost yang membolehkan daya brek regeneratif diaktifkan lebih kuat berbanding normal untuk pemanduan yang lebih responsif, dan dalam masa yang sama mengurangkan kekerapan penukaran antara pedal brek dan pendikit.
 

solar


Dalam situasi kecemasan seperti keputusan bekalan elektrik akibat bencana alam, pemilik boleh mengubah fungsi Prius PHEV daripada sebuah kenderaan empat roda menjadi sebuah genset berkuasa 1,500 W.

Dengan setangki bahan api yang penuh serta kapasiti bateri yang telah dicas 100 peratus, sebuah Prius PHEV mampu menyalurkan tenaga elektrik yang mencukupi untuk kegunaan seisi rumah selama lima hari.
 

Prius


Susun atur ruang kabin Prius PHEV Jepun ini adalah menyamai model yang ditawarkan di Eropah, dengan skrin tengah bersaiz 12.3 inci, skrin kluster digital kecil di hadapan roda stereng, serta butang kawalan HVAC di bahagian bawah corong pendingin hawa tengah.

Secara standard, Prius PHEV didatangkan dengan rim sporti eksklusif bersaiz 19 inci namun pembeli juga boleh mendapatkan opsyen rim bersaiz 17 inci.

Toyota Prius PHEV 2023 dipasang di kilang Tsutsumi, Jepun dengan sasaran jualan sebanyak 450 unit sebulan.
 

PHEV


Harga jualan Prius PHEV varian Z di pasaran Jepun bermula dari JPY 4,600,000 (RM151,425).