Bagi menonjolkan lagi RAV4, Toyota Service Parts and Accessories Development (SPAD) mengubahsuainya untuk menjadi jentera ekstrem.
Kereta konsep ini dibangunkan bagi membayangi jentera Rali Dakar dan menumpukan kepada keupayaan off-road yang lincah dan prestasi kelajuan tinggi.
Sebuah RAV4 PHEV 2024 dengan 302 kuasa kuda (hp) diambil sebagai asas.
Pusat graviti yang rendah susulan peletakan bateri menjadikannya objek yang bersesuaian untuk prestasi off-road.
Para jurutera SPAD menunjukkan keupayaan mereka di sebalik casis.
Penyerap hentak jenis panjang dipasang bersama perkakasan buatan khas dan meninggikan kereta sebanyak dua inci dan melebarkan trek kepada 6.3 inci.
Pelarasan Mampatan Dua Kelajuan membolehkan penyerap hentak ditala dengan tepat untuk laluan off-road selain meningkatkan pengendalian dan kawalan kereta.
Tabung pada bahagian depan dan belakang digunakan untuk pengawalan suhu minyak penyerap hentak semasa beraksi.
Keupayaan untuk memandu laju di permukaan berpasir turut disumbang lengan kawalan bawah depan aluminium dan perkakasan bawah atas daripada aluminium tempa.
Seperti biasa, plat depan dan belakang dipasang untuk perlindungan bahagian bawah kereta.
Bampar depan ala jentera Dakar dengan saluran penyejukan dan pendakap lingkungan roda yang mempunyai liang membantu dalam pengaliran udara.
Ruang roda yang luas diisi rim aluminium tempa 17 x 8.5 inci dan tayar 265/65.
Kelengkapan tersebut memberi ruang pelepasan yang diperlukan untuk sudut dakian depan dan belakang (approach and departure angle).
Penampilan RAV-X nampak seperti terapung melepasi bukit pasir walaupun dalam keadaan tidak bergerak.
Perkakasan badan yang agresif turut merangkumi spoiler yang melentik ke atas. Lampu pada but diganti dengan sebingkai spoiler dari atas dan sisi.
Dua muncung ekzos dikeluarkan dari lubang bampar kanan dan kiri. Akhir sekali, kereta keluarga yang sebegini ganas tidak dijual kepada umum!
Penulis: Muhammad Md Tajudin