Toyota RAV4 Adventure 2022 - penampilan lebih ranggi untuk Eropah

oleh Mohamad Hanif|
Untuk pasaran Eropah, Toyota baharu sahaja melancarkan model SUV RAV4 dengan penambahan varian terbaharu Adventure - versi RAV4 yang lebih agresif dan ranggi.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Dari segi penampilan, RAV4 Adventure 2022 menampilkan rekaan bampar yang sama seperti model RAV4 Adventure spesifikasi Amerika Syarikat, namun dengan rekaan gril yang berbeza, liang kemasukan, serta pemasangan skid plate depan dan belakang.
 

RAV4


RAV4 Adventure juga turut mendapat layangan warna dua tona Urban Khaki/Dynamic Grey yang mengingatkan kita kepada model Land Cruiser FJ40, arka roda yang lebih lebar, serta rim aloi berwarna matt grey bersaiz 19 inci.

Sementara ruang kabin pula mendapat kemasan upholsteri kulit sintetik berwarna hitam dengan permukaan bercorak khas dan jahitan kontras jingga, serta pemasangan scuff plate.
 

RAV


Untuk varian RAV4 yang lain, antara ciri baharu yang dimuatkan termasuklah lampu LED dengan grafik direka semula, lampu kabus LED, serta rim aloi 10 jejari yang boleh didapati dalam warna perak terang atau hitam berkilat.

Selain itu, Toyota juga membawakan ciri tempat duduk hadapan dengan larasan berkuasa, butang kawalan tingkap beriluminasi, serta slot pengecasan USB-C.
 

RAV


Tiada sebarang perubahan pada unit trenkuasa, bermakna RAV4 masih lagi mengekalkan enjin 2.5 liter yang dipadankan dengan dua motor elektrik menghasilkan kuasa gandingan 219 hp dan 221 Nm, serta sistem pacuan semua roda AWD-i.