Toyota Sienta 2023 - platform TNGA-B, enjin Dynamic Force 1.5 liter, dari RM64k di Jepun

oleh Mohamad Hanif|
Mungkin tidak ramai yang perasan, generasi kedua Toyota Sienta yang pernah ditawarkan di Malaysia telah pun muncul sejak tahun 2015 lagi, dan sudah sampai masanya untuk digantikan dengan model generasi baharu.
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 01
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 02

Kini, generasi ketiga Toyota Sienta telah pun rasmi dilancarkan di pasaran Jepun dengan penawaran platform serba baharu, serta trenkuasa hibrid yang lebih cekap tenaga.

Platform yang dimaksudkan sudah pasti TNGA-B yang turut dijadikan asas kepada model seperti Yaris, Yaris Cross dan juga Aqua.

Penggunaan platform ini menawarkan penambahbaikan dari segi pengendalian, keselesaan, tahap ketegaran serta NVH, digandingkan dengan suspensi baharu topang MacPherson di depan dan torsion beam di bahagian belakang.
 

Sienta


Di Jepun, Toyota Sienta didatangkan dengan pilihan enjin petrol Dynamic Force 1.5 liter, atau pilihan trenkuasa hibrid dengan enjin bersesaran serupa, pacuan roda depan atau semua roda E-Four, dipadankan dengan transmisi Direct Shift CVT 10 nisbah kelajuan Sport Sequential Shiftmatic.

Dari segi dimensi, Sienta baharu ini membawakan ukuran sepanjang 4,300 mm, lebar 1,695 mm, tinggi 1,670 mm sementara jarak antara roda pula masih sama - 2,750 mm.

Reka bentuk Sienta baharu kini lebih berpetak berbanding model terdahulu, di mana unit lampu utama LED juga lebih bersegi, diikuti dengan bukaan gril yang sedikit mengecil.
 

Sienta


Bahagian sisi pula menempatkan cladding plastik yang tidak sekata bentuknya, diikuti bar pelindung plastik pada bahagian pintu, serta rim aloi bersaiz 15 inci yang nampak kecil itu.

Sienta baharu ini masih lagi mengekalkan bukaan pintu sisi jenis gelangsar untuk penumpang belakang, serta bukaan pintu bahagian belakang dengan kedudukan titik kemasukan yang agak rendah dan lebih praktikal digunakan oleh seisi keluarga.

Unit lampu LED belakang kini menampilkan grafik yang lebih besar, dengan posisi yang menyamai kaca tingkap sisi dan belakang.
 

Sienta


Ruang kabin Sienta pula menawarkan unit infotainmen tengah bersaiz sehingga 10.2 inci (atau tiada langsung!), konsol tengah yang diposisikan agak tinggi, panel meter analog atau opsyen skrin paparan kluster digital, serta kehadiran slot pengecasan USB dan outlet kuasa.

Dengan dimensi ruang dalam yang lebih tinggi 20 mm dan dibantu dengan tempat duduk baris kedua yang direka semula, ia menawarkan lebih banyak ruang kaki dan ruang untuk kepala.

Keselesaan penumpang belakang dibantu dengan penggunaan sistem pengedaran udara yang dipasang pada bahagian siling untuk memastikan sistem pendingin hawa berfungsi dengan lebih cekap.
 

Sienta


Bergantung kepada spesifikasi, terdapat pemilihan kombinasi upholsteri kalis minyak atau air, serta pilihan warna trim hitam hinggalah kepada warna khaki atau kelabu.

Ciri kelengkapan keselamatan ADAS Toyota Safety Sense didatangkan standard untuk semua varian yang menawarkan fungsi parkir semi-autonomi, serta keupayaan untuk merakam video pemanduan depan dan belakang.
 

Sienta


Toyota turut menawarkan Sienta versi Welcab yang lebih mesra digunakan oleh golongan berkerusi roda.

Di Jepun, harga jualan Toyota Sienta 2023 ini bermula dari ¥1,950,000 (RM63,612) untuk versi asas 2WD dengan lima tempat duduk, dan boleh mencecah sehingga ¥3,108,000 (RM101,364) untuk versi andalan hibrid E-Four dengan tujuh tempat duduk.

Berita Berkenaan

Berita Global
Untuk tahun 2021, Toyota telah menawarkan kemaskini terhadap Sienta berupa penambahbaikan terhadap…
Berita Global
Setelah empat tahun, Toyota Sienta kini memasuki fasa kitaran pertengahan jangka hayat sesebuah…
Berita Domestik
Dalam satu majlis yang diaturkan berasingan, UMW Toyota Motor telah menyampaikan hadiah berupa MPV…