Diadakan dengan tema “Customer First, Quality First”, pertandingan ini turut disertai wakil Kementerian Pendidikan, Majlis Amanah Rakyat (MARA), serta institusi swasta utama sebagai simbol usaha bersama membangunkan ekosistem bakat automotif negara. Pertandingan ini juga menjadi penanda aras dalam menilai kemahiran diagnosis, ketepatan kerja pembaikan, khidmat nasihat servis dan kecekapan interaksi pelanggan, semua aspek yang mencerminkan standard kualiti dan kebolehpercayaan Toyota.

Datuk Ravindran K., Presiden UMW Toyota Motor, berkata, “Manusia adalah nadi kepada segala yang kami lakukan. Kejayaan Toyota dibina atas kemahiran dan nilai pekerjanya. Melalui Toyota Skills Contest, kami meraikan kecemerlangan sambil melabur dalam masa depan mobiliti Malaysia. Ketika dunia bergerak ke arah elektrifikasi dan digitalisasi, matlamat kami ialah melahirkan generasi profesional yang menjunjung semangat Kaizen dan kemajuan dengan integriti.”
Mengiktiraf Kecemerlangan Dalam Pelbagai Disiplin
Edisi 2025 menyaksikan sembilan kategori pertandingan bersama satu Anugerah Pasukan Terbaik yang merangkumi bidang khidmat pelanggan, teknikal, jualan dan operasi. Kategori tersebut ialah Customer Relations, GS Technician Diagnosis, GS Technician Maintenance and Repair, GS Service Advisor, Parts Assistant, Sales Advisor, Admin Assistant, Workshop Controller dan B&P Service Advisor.
Pasukan Laser Motor PJ Sdn Bhd dinobatkan sebagai juara Best Team Award dan menerima hadiah wang tunai RM20,000 atas semangat berpasukan dan profesionalisme mereka. Secara keseluruhan, RM155,000 diperuntukkan untuk mengiktiraf peserta dan pasukan terbaik yang menonjolkan budaya penambahbaikan berterusan Toyota.
Nilai “Customer First” dan “Quality First” yang dipegang Toyota berakar daripada Five Main Principles of Toyoda yang menekankan semangat Kaizen (penambahbaikan berterusan) dan Genchi Genbutsu (menyelesaikan masalah di lapangan sebenar).
Platform Melahirkan Bakat Bertaraf Dunia
Pertandingan ini juga berperanan sebagai platform untuk menaik taraf kemahiran tenaga tempatan ke tahap global menerusi penilaian bertulis, cabaran diagnostik dan simulasi perkhidmatan pelanggan. Peserta terbaik akan mewakili Malaysia di peringkat serantau Toyota Skills Contest, memperkukuh reputasi Malaysia sebagai pusat kecemerlangan teknikal di rantau ASEAN.

Ramai peserta merupakan graduan Toyota Technical Education Programme (T-TEP), iaitu kerjasama jangka panjang antara UMWT dan institusi TVET Malaysia sejak 1991. Setakat ini, program tersebut telah melahirkan lebih 7,000 graduan dari 25 institusi rakan kongsi, memberikan latihan praktikal serta laluan kerjaya ke industri automotif.