
Terbaru Toyota Motor North America (TMNA) mengumumkan penamaan pejabat Penyelidikan dan Pembangunan R&D California sebagai Ibu Pejabat Hidrogen Amerika Utara (H2HQ).
Penamaan semula itu bagi memperkukuhkan komitmen Toyota dalam menyokong sel bahan api serta produk dan teknologi berkaitan hidrogen ke arah ekonomi hidrogen.
Ruang kerja pejabat di H2HQ telah direka semula untuk kakitangan dari R&D, perancangan pengkomersialan dan jualan produk dan teknologi berkaitan hidrogen.
Toyota juga mempunyai perancangan untuk menambah kemudahan lain seperti grid mikro (sistem/kemudahan tenaga berasingan), pusat pendidikan mampan dan pelbagai lagi.

Penubuhan ini adalah usaha terbaru selepas Toyota Motor Corporation menyusun semula perniagaan hidrogen di Jepun dan menubuhkan Hydrogen Factory pada 2023.
Idea di sebalik penubuhan di Jepun itu bagi menghimpunkan semua kerja berkaitan hidrogen di satu tempat.
Toyota juga mahu mempercepatkan pembangunan produk berorientasikan pelanggan dan pengeluaran produk sel bahan api atau berkaitan hidrogen.
Toyota Motor Europe menyusul dengan Hydrogen Factory sendiri bagi mengembangkan lagi perniagaan hidrogen Toyota selain ekosistem dan infrastruktur hidrogen di Eropah.

H2HQ akan memacu usaha hidrogen di Amerika Utara dan membantu dalam penyetempatan teknologi dan produk berkaitan hidrogen global.
Di antaranya penggunaan sel bahan api kegunaan ringan, peluang sel bahan api kegunaan berat, penjanaan kuasa sel bahan api tidak kekal dan pelbagai lagi.
H2HQ sudah pun mempunyai aset penyelidikan dan pembangunan yang bagus seperti dynamometer terbesar Toyota (1.2 MW).
Turut tersedia meja ujian (test bench) dan stesen pengisian hidrogen untuk kenderaan ringan dan berat. H2HQ juga bakal menjadi pusat kepada beberapa projek baharu.

Pembinaan grid mikro anjal telah pun bermula termasuk sistem fotovolta solar 230 kW dan penjana sel bahan api membran penukar proton (PEM) 1MW.
Turut dibina sel bahan api oksida pepejal (SOFC) 325 kW dan sistem sistem tenaga bateri 500 kWj.
Grid mikro direka bagi menyokong keperluan tenaga di kampus Toyota dan membolehkannya beroperasi tanpa grid utama dan dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang 2026.
Program penyelidikan dan pembangunan Toyota di dalam teknologi sel bahan api hidrogen telah berjalan selama lebih 30 tahun.
Buktinya boleh dlihat pada Toyota Mirai, pengangkutan kenderaan berat, sistem penjanaan tenaga dan pelbagai lagi.

Kampus Toyota di Gardena, California turut terlibat di dalam usaha tersebut dan memulakan sejumlah projek sel bahan api elektrik.
Sebagai contoh bahagian Pembangunan Sel Bahan Api (FCD) memainkan peranan penting dalam membantu pembangunan Mirai yang dilancar pada 2015.
Mereka juga bekerjasama dengan rakan industri bagi membantu pengembangan infrastruktur melalui pentadbiran California.
Pada 2017 FCD memasang rangkaian kuasa sel bahan api elektrik pada lori dan kemudian mendorong kepada projek Zero- and Near-Zero Emissions Freight Facilities (ZANZEFF).
Penulis: Muhammad Md Tajudin
