Toyota Thailand lancar Corolla Altis baharu - enam varian, bermula dari RM114 ribu

oleh Mohamad Hanif|
Toyota Motor Thailand akhirnya selesai melancarkan sedan segmen C, iaitu Toyota Corolla Altis setelah desas-desus berkenaan pelancaran model baharu itu sebulan yang lalu.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Generasi ke-12 Toyota Corolla itu seperti mana yang kita maklum menggunapakai pelantar daripada Toyota New Global Architecture (TNGA) yang turut digunakan pada Prius, C-HR dan juga Camry baharu. 
 


Terdiri daripada enam varian utama, tiga daripadanya merupakan model bernadikan enjin hibrid dan selebihnya enjin petrol standard. 

Varian terendah menerima enjin 1.6 liter 1ZR-FBE (125 PS/156 Nm), diikuti oleh enjin 1.8 liter 2ZR-FBE (140 PS/177 Nm) yang mana kedua-duanya digandingkan dengan transmisi CVT.

Manakala model hibrid pula didatangkan dengan enjin 1.8 2ZR-FXE kitaran Atkison berkuasa 98 PS dan 142 Nm dengan gandingan motor elektrik 72 PS/122 Nm. 

 


Dari segi kelengkapan, Toyota Corolla Altis 2019 hadir dengan ciri seperti lampu halogen, lampu belakang LED, rim aloi bersaiz 15 inci, tempat duduk fabrik dan sambungan Bluetooth. 

Beralih kepada varian 1.6G dan varian Hibrid Entry, pembeli akan menerima rim aloi bersaiz 16 inci, sistem kemasukan tanpa kunci, butang pandu mula, tempat duduk kulit, sistem pendingin hawa automatik, corong pendingin hawa belakang dan sensor undur. 

Hanya varian tertinggi sahaja yang hadir dengan ciri penuh Toyota Safety Sense yang turut merangkumi brek kecemasan autonomi, kawalan pelayaran adaptif kelajuan penuh, amaran penukaran laluan, bantuan kekal laluan dan bantuan suluh automatik. 
 


Menariknya, terdapat varian GR Sport yang lebih sporti membawakan sedikit kelainan seperti gril berwarna hitam dengan jaluran perak, bumper yang lebih agresif, rim aloi tujuh batang bersaiz 17 inci serta kehadiran kit badan di sekeliling. 

Ruang dalaman pula hadir dengan reka bentuk papan pemuka yang moden, terdiri daripada skrin paparan tengah bersaiz lapan inci, kluster meter digital tujuh inci, paparan head-up, serta ciri sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto. 

Harga bagi keenam-enam varian adalah seperti berikut: 

Toyota Corolla Altis 1.6L Limo - 829,000 Baht (RM114,100)
Toyota Corolla Altis 1.6G - 869,000 Baht (RM119,600)
Toyota Corolla GR Sport 1.8L - 999,000 Baht (RM137,500)
Toyota Corolla Hybrid Entry - 939,000 Baht (RM129,200)
Toyota Corolla Hybrid Mid - 989,000 (RM136,100)
Toyota Corolla Hybrid High - 1,099,000 (RM151,200) 

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Dalam sidang media di Bangkok, Ketua Pegawai Eksekutif Toyota bagi rantau Asia, Masahiko Maeda…
Berita Global
Di negara jiran, Toyota Motor Thailand telah melancarkan versi facelift ringan untuk Toyota Yaris…