Ini adalah kali pertama di dunia Toyota bekerjasama dengan syarikat pihak ketiga untuk projek sebegini.
Bukan setahun dua tetapi memakan masa pembangunan selama enam tahun bagi memastikan Tundra pemanduan kanan memenuhi piawaian Toyota.
Menurut Naib Presiden Jualan, Pemasaran dan Operasi Francais Toyota Australia, Sean Hanley projek ini bukan sekadar penukaran dari kiri ke kanan.
Para jurutera Toyota bekerjasama rapat dengan Walkinshaw dan menggunakan banyak peralatan dan perkakasan dari model lain termasuk Land Cruiser 300 Series.
Kedua-duanya dibangunkan dari pelantar TNGA-F.
Untuk makluman, Hilux lama memegang takhta kenderaan terlaris di Australia dan canggung sekiranya Tundra pemanduan kanan tidak dipasarkan.
Canggung kerana rakan-rakan pikap saiz penuh lain seperti Ford F-150, Ram 1500 dan Chevrolet Silverado 1500 stereng kanan ditawarkan di Australia.
Buat permulaan, Tundra ditawarkan dalam varian Limited sebelum versi premium menyusul pada suku kedua 2025.
Menggerakkan Tundra ialah enjin hibrid i-Force Max 3.5 liter V6 turbo berkembar yang menghasilkan 437 kuasa kuda (hp) dan tork 790Nm.
Enjin dipadankan kotak gear automatik sepuluh kelajuan dan sistem pacuan 4WD separuh masa.
Kelengkapan asas terdiri daripada lampu LED, rim aloi 20 inci, kerusi depan dengan larasan berkuasa, pemanas dan pengudaraan, skrin tengah 14 inci dan skrin meter 12.3 inci.
Turut dilengkapi 12 pembesar suara JBL, kawalan suhu dua zon dan pengawal brek treler.
Varian premium berbeza pada jeriji, rim aloi hitam, bumbung panoramik dan penambahan fungsi urut pada kerusi depan.
Lagi kelengkapan seperti stereng dengan pemanas, turus roda kemudi larasan berkuasa dan papar pandu 10.9 inci.
Penulis: Muhammad Md Tajudin