Berbanding Avanza yang menggunakan platform ladder frame dan sistem pacuan roda belakang, Toyota Veloz kini menggunakan platform DNGA yang jauh lebih moden, sementara sistem pacuan pula berpindah kepada roda hadapan.
Ia membawakan bahasa rekaan Toyota yang terkini, di mana bahagian depan menampilkan rekaan jeriji berbentuk trapezoid, lampu LED dengan larasan suluhan automatik, lampu nyalaan siang DRL serta lampu membelok jenis sekuential, serta ciri Follow-Me untuk keselamatan waktu malam.
Unit lampu belakang pula menampilkan rekaan tiga dimensi dengan jalur LED yang bersambung dengan logo Toyota.
Sementara rel bumbung pula mampu menampung storan seberat 75 kg, sesuai digunakan untuk keluarga besar yang memiliki gaya hidup luar yang aktif.
Secara standard, Veloz 2022 dipasangkan dengan rim bersaiz 17 inci dengan balutan tayar 205/50 R17, dengan jarak kelegaan tanah setinggi 205 mm.
Toyota Veloz 2022 dijana dengan enjin 1.5 liter empat silinder sebaris 2NR-VE Dual VVT-i yang mampu menghasilkan kuasa 106 PS @ 6,000 rpm dan daya kilas maksimum 138 Nm @ 4,200 rpm, padanan transmisi CVT serta sistem pacuan roda depan.
Terdapat tiga mod pemanduan yang ditawarkan, iaitu PWR, ECO dan juga NORMAL.
Untuk menawarkan penampilan yang premium, tempat duduk didatangkan dengan balutan upholsteri separa kulit, kemasan warna dua tona, serta sistem pencahayaan ambien berwarna biru.
Selain daripada skrin kluster digital LCD bersaiz tujuh inci, Veloz juga didatangkan dengan skrin tengah bersaiz sembilan inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto (wayar/tanpa wayar), serta paparan kamera keliling 360 darjah Panoramic View Monitor (PVM).
Untuk kemudahan dan keselesaan para penumpang, Veloz dilengkapi dengan sistem pendingin hawa automatik beserta corong untuk penumpang baris belakang, tiga slot pengecasan USB disediakan, selain pad pengecasan peranti pintar tanpa wayar di bahagian konsol tengah dan dua tambahan soket 12V untuk kegunaan yang berbeza.
Dari segi keselamatan, Veloz 2022 menampilkan kelengkapan Toyota Safety Sense (TSS) yang merangkumi Sistem Pra-Pelanggaran (PCS), Amaran Keluar Lorong (LDW), Pengelakan Keluar Lorong (LDP), Kawalan Pengekalan Lorong (LKC), selain ciri seperti Amaran Pergerakan Kereta Hadapan (FDA), Kawalan Jelajah Adaptif (ACC), Bantuan Suluhan Tinggi Adaptif, Sistem Pemantauan Titik Buta (BSM) dan Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA).
Ciri keselamatan pasif pula merangkumi enam beg udara, ABS, Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Kawalan Cengkaman (TRC), dan Bantuan Mula Mendaki (HAC).
Selain daripada ciri yang disebutkan tadi, Veloz juga turut hadir dengan sistem telematik kenderaan (VTS) yang membolehkan para pemilik mengesan dan memantau lokasi menerusi aplikasi sekiranya kenderaan dicuri.
Secara standard, Toyota Veloz dilengkapi dengan alat perakam video pemanduan (DVR) untuk bahagian hadapan, serta opsyen untuk menambah DVR pada bahagian belakang.
Terdapat lima warna menarik yang ditawarkan seperti White, Metallic Bluish Black, Red Metallic termasuk dua warna dua tona iaitu Silver Metallic/Black Roof, dan Blue Metallic/Black Roof.
Toyota Veloz 2022 merupakan unit pemasangan tempatan (CKD) dengan harga jualan bermula dari RM95,000 dan didatangkan dengan pakej jaminan komprehensif lima tahun tanpa had perbatuan, selain bantuan tepi jalan 24Seven Road Assist.