Pihak PT Toyota Astra Motor (TAM) menawarkan sehingga tiga varian untuk pasaran tersebut, iaitu E Type, G CVT Type dan varian tertinggi G TSS CVT yang dilengkapi dengan ciri Toyota Safety Sense.
Seperti yang anda pernah lihat pada laporan kami yang terdahulu, rekaan Vios kali ini jauh lebih tajam dengan bentuk badan seakan sebuah fastback dan membawakan elemen rekaan daripada Toyota Corolla Altis.
Sementara ruang kabin pula menunjukkan bukti Vios ini dibangunkan daripada platform yang sama seperti Toyota Raize/Daihatsu Rocky/Perodua Ativa berdasarkan penggunaan roda stereng, skrin kluster meter, butang kawalan iklim serta konsol tengah.
Dari segi kuasa, Toyota Vios 2022 di pasaran Indonesia mendapat nadi 1.5 liter 2NR-VE yang sama digunakan pada model Myvi, bersesaran 1,496 cc menghasilkan kuasa 104.6 hp @ 6,000 rpm dan daya kilas 138 Nm @ 4,200 rpm.
Varian E Type sahaja yang ditawarkan dengan transmisi manual lima kelajuan, sementara dua varian tertinggi pula dipadankan dengan transmisi CVT.
Secara standard, Vios didatangkan dengan sistem brek cakera depan belakang (kecuali varian E Type), rim bersaiz 17 inci (E Type dapat rim 16 inci), sistem stereng berkuasa elektrik, brek parkir elektronik (EPB) dengan ciri Brake Hold (kecuali E Type dengan tuas brek tangan fizikal), serta skrin infotainmen terapung 9 inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.
Seperti yang dijelaskan, hanya varian G TSS sahaja yang didatangkan dengan kelengkapan keselamatan Toyota Safety Sense (TSS) merangkumi Amaran Pra-Pelanggaran serta Bantuan Brek, Kawalan Kesilapan Operasi Pedal, Amaran Keluar Lorong, Pengelakan Keluar Lorong, Bantuan Suluhan Tinggi, Pemantauan Titik Buta, Amaran Lintasan Trafik Belakang, Kawalan Jelajah Adaptif, dan Amaran Pergerakan Hadapan.
Varian asas mendapat dua beg udara, penderia parkir, kamera undur, bantuan mula mendaki dan kawalan kestabilan kenderaan sementara varian G TSS didatangkan enam beg udara serta kawalan cengkaman.
Harga jualan bermula dari IDR 314,900,000 (RM95,925) hingga IDR 368,400,000 (RM112,222).