Para pelumba selebriti dalam kategori Promotional Class berpeluang untuk menjadi antara yang pertama merasai pengalaman memandu jentera lumba generasi baharu itu dalam perlumbaan penutup pada hujung minggu ini.
Musim ketujuh pada tahun 2024 bakal menyaksikan kelas Super Sporting, Sporting dan Promotional Class bersaing merebut gelaran juara di dalam jentera Vios serba baharu.

Dari segi spesifikasi, Vios 2023 untuk kegunaan perlumbaan itu kekal dikuasakan nadi 1.5 liter yang dipadankan dengan transmisi manual 5 kelajuan, di mana ia kini menampilkan platform yang lebih stabil dan aerodinamik.
Penambahbaikan pada bahagian casis juga membantu meningkatkan pengendalian, sekaligus menjadikannya jentera lumba yang lebih lincah dan responsif di litar lumba.
Jentera lumba Vios baharu itu tersedia untuk dibeli dari UMW Toyota Motor oleh para pelumba dan pasukan yang menyertai, di mana ia sedia untuk berlumba dengan segala kelengkapan keselamatan dan perlumbaan.

Ianya termasuk sangkar lumba 6-point, tempat duduk fully-bucket, abah-abah perlumbaan 6-point yang diluluskan FIA. Selain itu juga ia dilengkapi naik taraf prestasi seperti sistem ekzos lumba, karbeda (differential) LSD, dan tetapan suspensi perlumbaan.
Seperti musim sebelum ini, pasukan yang membeli jentera lumba tersebut dari UMW Toyota Motor akan ditawarkan dengan harga insentif, di mana ia merupakan sebahagian komitmen Toyota untuk menjadikan sukan perlumbaan lebih mampu milik dan mudah diakses kebanyakan pihak.

Pengenalan jentera lumba baharu untuk musim ketujuh dengan format perlumbaan yang sama itu akan terus memastikan semua pelumba bersaing di peringkat yang sama.
Ia bagi memastikan setiap pelumba dan pasukan dengan peluang sama rata untuk menampilkan bakat dan skill pemanduan individu, di mana ia telah menjadi asas kepada pengenalan GR Vios Challenge sejak tahun 2017.
