Ini adalah berdasarkan beberapa komponen yang dilihat menyamai apa yang ditawarkan daripada adik-beradik DNGA seperti Toyota Raize/Daihatsu Rocky, serta Toyota Veloz/Daihatsu Xenia/Perodua Alza.

Generasi baharu Vios sudah pun rasmi dilancarkan dan mula menarik perhatian umum, bagaimana pula dengan versi hatchback Toyota Yaris?
Menurut laporan daripada rakan media Wapcar yang memetik OtoDriver, generasi baharu hatchback Toyota Yaris dijangka akan muncul kelak dengan menggunakan asas platform DNGA, dan seperti Toyota Veloz/Daihatsu Xenia/Perodua Alza, Toyota Yaris generasi baharu juga bakal mempunyai kembar yang menggunakan lencana Perodua dan Daihatsu.

Tidak mustahil kembar yang dimaksudkan itu merupakan generasi baharu Perodua Myvi/Daihatsu Sirion, memandangkan model generasi ketiga Myvi sebenarnya masih lagi menggunakan platform lama dan tidak seperti Ativa dan Alza yang lahir daripada platform DNGA yang lebih moden.
Menguatkan lagi kenyataan tersebut adalah fakta di mana Perodua Myvi generasi ketiga kini sudah pun memasuki tahun produksi yang kelima sejak diperkenalkan pada tahun 2017, dan sudah pasti Perodua telah pun merancang untuk memperkenalkan model pengganti Myvi G3 ini seawal tahun 2023 atau 2024.

Toyota Yaris 2023 dijangka akan menampilkan tetapan trenkuasa yang didapati pada model Veloz/Alza, iaitu enjin 1.5 liter 2NR-VE dengan padanan transmisi D-CVT, pilihan mod pemanduan, serta ciri-ciri bantuan pemandu termaju (ADAS) sebagai satu ciri standard.
Satu perkara menarik daripada laman OtoDriver adalah kehadiran model baharu yang bakal dipasang di fasiliti Toyota Motor Manufacturing Indonesia (TMMIN) menjelang separuh kedua tahun 2023.

Menurut sumber itu lagi, model baharu itu sebenarnya adalah sebuah SUV (Yaris Cross?) yang akan memberikan saingan kepada Honda HR-V, dan akan menggunakan asas daripada Yaris DNGA yang disebutkan tadi.
Berdasarkan laporan terdahulu, terdapat ura-ura Perodua sedang bekerja dalam diam membangunkan sebuah SUV segmen B baharu menggunakan asas daripada platform DNGA, di mana model ini akan diposisikan di atas Perodua Ativa sebagai SUV dengan penawaran dimensi yang lebih besar.

Adakah ini satu petanda bahawa Perodua bukan mempunyai satu, tapi dua model baharu yang bakal dilancarkan kelak?