Toyota Yaris Ativ (Vios) generasi baharu dilancarkan di Thailand - nadi 1.2 liter, CVT, dari RM68k

oleh Mohamad Hanif|
Pasaran sedan segmen B kini dimeriahkan dengan kehadiran model generasi baharu Toyota Yaris Ativ (atau nama lainnya Toyota Vios).

Dilancarkan secara rasmi di Thailand hari ini, Toyota Yaris Ativ mampu memberikan saingan sengit kepada model seperti Nissan Almera serta Honda City.

Dibangun menggunakan platform DNGA (Daihatsu New Global Architecture), Yaris Ativ kini membawakan ukuran sepanjang 4,425 mm, lebar 1,740 mm, tinggi 1,480 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,620 mm.
 

Yaris Ativ


Berbanding Vios terdahulu, Yaris Ativ kali ini sedikit panjang, lebar yang semakin bertambah, serta jarak antara roda yang lebih panjang.

Jarak kelegaan tanah kini setinggi 160 mm, sementara radius putaran adalah serendah 4.8 meter (berbanding 5.1 meter pada model terdahulu).

Dari segi kuasa, Toyota Yaris Ativ didatangkan dengan enjin tunggal 3NR-VE 1.2 liter aspirasi natural yang mampu menjana kuasa setinggi 94 hp @ 6,000 rpm, dan daya kilas 110 Nm @ 4,400 rpm yang dipadankan dengan transmisi Super CVT-i (dan ciri Sequential Shift).
 

Yaris Ativ


Aspek gantungan masih lagi mengekalkan penggunaan topang MacPherson di hadapan dengan bar penstabil, dibantu dengan suspensi Torsion Beam di bahagian belakang, juga dengan kehadiran bar penstabil.

Sistem brek terdiri daripada gandingan cakera dan brek dram di bahagian belakang, sementara model tertinggi sahaja didatangkan dengan brek cakera di belakang.

Secara standard, Toyota Yaris Ativ hadir dengan kelengkapan seperti unit lampu depan LED, rim bersaiz 16 inci (balutan tayar 195/60 R16), lampu belakang LED, roda stereng boleh laras empat cara, sistem kemasukan pintar tanpa kunci, skrin infotainmen bersaiz lapan inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, serta sistem audio dengan dua pembesar suara.
 

Yaris Ativ


Ciri keselamatan pula merangkumi enam beg udara, ABS, EBD, Bantuan Brek, Sistem Kawalan Kestabilan, Kawalan Cengkaman, Bantuan Mula Mendaki, serta cagak ISOFIX untuk kerusi kanak-kanak.

Varian kedua terendah pula mendapat tambahan ciri seperti skrin kluster digital TFT tujuh inci, skrin infotainmen sembilan inci, slot pengecasan USB depan dan belakang, penambahan kamera depan, empat pembesar suara, serta pakej Toyota Safety Sense yang merangkumi Sistem Pra-Pelanggaran, Amaran Keluar Lorong dengan Bantuan Stereng, Amaran Pergerakan Kenderaan Hadapan dan Sistem Perlindungan Pedal Pendikit.

Naik kepada varian Premium, pembeli boleh mendapat kelengkapan seperti penapis udara PM2.5, corong pendingin hawa baris kedua, enam pembesar suara, kemasan hitam berkilat pada sesetengah tempat, lampu isyarat membelok sekuential, kemasan upholsteri kulit berwarna perang dan Piano Black, serta tambahan ciri keselamatan seperti Kawalan Jelajah Adaptif, Brek Parkir Elektrik dengan fungsi Auto Hold, sistem pemantauan keliling panorama, sistem amaran titik buta, amaran lintasan trafik belakang, serta bantuan suluhan tinggi automatik.
 

Yaris Ativ


Varian yang paling mewah (Premium Luxury) pula menawarkan kemasan yang lebih premium, di mana kerusi didatangkan dengan balutan kulit tulen dan sintetik berwarna merah, papan pemuka dengan bahan sentuhan lembut juga dengan warna serupa, panel pintu balutan kulit merah, sistem pencahayaan ambien 64 warna, serta sistem audio enam pembesar suara berjenama Pioneer.

Harga jualan Toyota Yaris Ativ di pasaran Thailand adalah seperti berikut:

Yaris Ativ 1.2 Sport CVT : 539,000 baht (RM67,700)
Yaris Ativ 1.2 Smart CVT : 584,000 baht (RM73,352)
Yaris Ativ 1.2 Premium CVT : 659,000 baht (RM82,772)
Yaris Ativ 1.2 Premium Luxury CVT : 689,000 baht (RM86,540)

Sumber: Headlightmag

Berita Berkenaan

Berita Global
Laman web Autolifethailand nampaknya telah pun berjaya mengesan unit ujian Yaris Ativ (nama lain…
Berita Global
Antara perubahan yang dimaksudkan bermula dari bampar hadapan di mana perumah lampu kabus kini…