Toyota Yaris Cross Raih Penarafan 5-Bintang ASEAN NCAP

oleh Qalif Latif|
Toyota sekali lagi membuktikan komitmennya terhadap keselamatan kenderaan apabila SUV terbaharu mereka, Toyota Yaris Cross, meraih penarafan 5-Bintang ASEAN NCAP di bawah protokol penilaian 2021–2025.

Dalam ujian penilaian terkini, Yaris Cross mencatatkan skor keseluruhan sebanyak 83.02 mata. Pecahan markah tersebut adalah 36.36 mata bagi perlindungan Penumpang Dewasa (Adult Occupant Protection – AOP), 17.32 mata bagi perlindungan Kanak-Kanak (Child Occupant Protection – COP), 16.89 mata untuk Bantuan Keselamatan (Safety Assist – SA), serta 12.21 mata dalam kategori Keselamatan Penunggang Motosikal (Motorcyclist Safety – MS).

SUV 5-tempat duduk ini dilengkapi dengan ciri keselamatan standard seperti enam beg udara, Electronic Stability Control (ESC), Anti-lock Braking System (ABS), Seatbelt Reminder System (SBR) untuk penumpang hadapan dan belakang, serta perlindungan pejalan kaki (Pedestrian Protection – PP). Bagi varian tertentu, Toyota turut menawarkan teknologi bantuan keselamatan lanjutan, termasuk Autonomous Emergency Braking (AEB) untuk pemanduan bandar dan luar bandar, Blind Spot Detection (BSD) di kedua-dua sisi, Lane Departure Warning (LDW), Forward Collision Warning (FCW), Lane Keep Assist (LKA), dan Auto High Beam (AHB).

Hasil ujian mendapati bahagian hadapan kabin Yaris Cross kekal stabil semasa perlanggaran, dengan perlindungan yang baik diberikan kepada kebanyakan bahagian tubuh dummy penumpang. Perlindungan dada bagi kedua-dua penumpang diuji sebagai mencukupi, sementara pemandu menerima perlindungan marginal pada bahagian kaki kanan bawah.

ASEAN NCAP dalam kenyataannya mengiktiraf usaha berterusan Toyota memastikan model-model popular mereka mencapai penarafan keselamatan tertinggi. Menurut badan tersebut, inisiatif Toyota melengkapkan Yaris Cross dengan teknologi bantuan keselamatan utama jelas menunjukkan pendekatan proaktif jenama itu dalam memenuhi piawaian ketat penilaian semasa.

Tahun 2025 menandakan tahun terakhir protokol ASEAN NCAP 2021–2025, yang menilai empat domain utama: AOP (40 mata) serta COP, SA, dan MS masing-masing 20 mata. Protokol baharu 2026–2030 akan mula berkuat kuasa pada Januari 2026.

Berita Berkenaan

Berita Domestik
"Walaupun berdepan persekitaran pasaran yang semakin kompetitif, UMWT terus mengekalkan…
Sukan Bermotor
Penyertaan itu menandakan langkah penting Toyota Malaysia untuk mengembangkan penglibatan mereka…
Berita Domestik
Jualan bulan Disember 2025 sahaja mencatatkan 14,284 unit, mencerminkan momentum kukuh sehingga ke…