Toyota Yaris dan Yaris Cross 2026 Jepun, langsung berbeza daripada model tempatan

oleh Muhammad Md Tajudin|
Toyota Yaris dan Yaris Cross 2026 Jepun
Toyota Yaris dan Yaris Cross 2026 Jepun
Toyota Motor Corporation memperkenalkan Yaris dan Yaris Cross 2026 untuk pasaran Jepun bermula 2 Mac 2026.

Penambahbaikan kali ini menumpukan kepada kelengkapan standard yang lebih premium serta pengenalan pilihan warna luaran yang lebih segar.

Yaris dan Yaris Cross versi Jepun berbeza sepenuhnya daripada unit yang dijual secara rasmi di pasaran Asia Tenggara.

Walau bagaimanapun, peminat tempatan masih boleh mendapatkan Yaris Cross 1.5L versi Jepun melalui pengimport terpakai (recond) pada harga sekitar RM133,000.

Peningkatan Spesifikasi dan Ciri Standard Yaris Cross

Toyota Yaris Cross Z Adventure Hybrid 2WD 2026 Jepun

Bagi model Yaris Cross, Toyota memberikan tumpuan kepada penambahan ciri yang sering menjadi permintaan pelanggan.

Di antara perubahan utama ialah pemasangan unit skrin 10.5 inci yang serasi dengan Connected Navigation Plus yang kini menjadi kelengkapan standard bagi varian Z, Z Adventure dan G.

Dari sudut luaran, Yaris Cross kini tampil dengan pilihan warna tunggal baharu iaitu Urban Rock yang tersedia untuk semua varian.

 

Toyota Yaris Cross Z URBANO Hybrid 2WD 2026 Jepun

 

Bagi memberikan imej lebih kemas, komponen seperti cermin sisi dan antena sirip yu kini hadir dengan kemasan hitam untuk semua varian.

Selain itu, spesifikasi cuaca sejuk kini menjadi ciri standard bagi model pacuan empat roda 4WD manakala bagi model pacuan dua roda 2WD, ia ditawarkan sebagai pilihan kilang.

Kemas Kini dan Transmisi Manual Bagi Yaris

Toyota Yaris Z Hybrid 2WD 2026 Jepun

Model hatchback Yaris pula menerima perubahan yang lebih meluas terutamanya pada sistem brek dan keselesaan pemanduan.

Varian hibrid kini dilengkapi dengan Brek Parkir Elektrik serta fungsi Brake Hold secara standard.

Selain itu, keselesaan pemandu dan penumpang hadapan ditingkatkan melalui pemasangan perehat lengan bagi varian Z dan G untuk model hibrid.

Sistem maklumat hibur turut dinaiktaraf di mana varian Z menerima skrin 10.5 inci manakala varian G dilengkapi skrin 8 inci Plus secara standard.

 

Toyota Yaris Z URBANO 2WD 6MT 2026

 

Sistem kemasukan pintar dan sistem mula tanpa kunci tersedia untuk semua varian.

Satu lagi pembaharuan menarik adalah pada edisi khas Z Urbano yang kini ditawarkan dengan pilihan transmisi manual enam kelajuan bagi model enjin petrol 1.5 liter pacuan dua roda.

Edisi khas ini juga menerima tema warna dua tona Black dan Mustard yang eksklusif.

Rangkaian Kuasa

Hibrid 1.5L (Yaris & Yaris Cross)

  • Enjin: M15A-FXE 1.5L, 3 silinder sebaris
  • Output Maksimum Enjin: 91 ps@5,500 r.p.m.
  • Tork Maksimum Enjin: 120 Nm@3,800 hingga 4,800 r.p.m.
  • Motor Elektrik Hadapan 1NM: 80 ps (59 kW)
  • Tork Motor Hadapan: 141 Nm
  • Motor Elektrik Belakang 1MM (Model E-Four): 5.3 ps (3.9 kW)
  • Tork Motor Belakang: 52 Nm
  • Bateri Kuasa: Lithium-ion, kapasiti 4.3 Ah
  • Transmisi: e-CVT

Enjin Petrol 1.5L (Yaris & Yaris Cross)

  • Enjin: M15A-FKS 1.5L, 3 silinder sebaris
  • Output Maksimum: 120 ps@6,600 r.p.m.
  • Tork Maksimum: 145 Nm@4,800 hingga 5,200 r.p.m.
  • Transmisi: Direct Shift-CVT atau Manual 6-Kelajuan (Yaris sahaja)

Enjin Petrol 1.0L (Yaris Sahaja)

  • Enjin: 1KR-FE 1.0L, 3 silinder sebaris
  • Output Maksimum: 69 ps@6,000 r.p.m.
  • Tork Maksimum: 92 Nm@4,400 r.p.m.
  • Transmisi: Super CVT-i

Harga Jualan Di Jepun

 

Toyota Yaris Z URBANO Hybrid 2WD 2026

 

Bagi pasaran Jepun, harga jualan Toyota Yaris bermula daripada 1,697,300 yen (RM42,602) bagi varian X Petrol 1.0L CVT 2WD sehingga 2,994,200 yen (RM75,154) bagi varian tertinggi Z Urbano Hybrid 1.5L E-Four.

Untuk Toyota Yaris Cross pula, harga ditawarkan bermula daripada 2,126,300 yen (RM53,370) bagi varian X Petrol 1.5L CVT 2WD dan mencecah sehingga 3,355,000 yen (RM84,210) bagi varian Z Adventure Hybrid 1.5L E-Four.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

Toyota Yaris Cross X Hybrid 2WD 2026 Jepun

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Dari Enjin Depan ke Midship 4WD     Kenderaan seperti GR Yaris mempunyai enjin di bahagian depan…
Berita Domestik
Mangsa memaklumkan kereta Honda City dipandunya dilanggar sebuah Toyota Yaris berwarna merah di…
Berita Domestik
Sesuai dengan namanya, Yaris G Limited hanya akan ditawarkan sebanyak 600 unit terhad sahaja dengan…