Tragedi Teluk Intan: Pasukan Petugas Khas Ditubuhkan Siasat Kemalangan Maut FRU

oleh Qalif Latif|
Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) mengambil langkah segera dan tegas susulan kemalangan ngeri yang meragut sembilan nyawa anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) serta mencederakan lapan yang lain di simpang tiga Jalan Chikus–Sungai Lampam, Teluk Intan pada 13 Mei lalu.
PERODUA MREC Banner Campaign May 2025

Bagi memastikan siasatan menyeluruh dijalankan tanpa kelengahan, Jemaah Menteri telah bersetuju dengan penubuhan sebuah Pasukan Petugas Khas yang diketuai oleh Kementerian Pengangkutan. Pasukan ini telah mula menjalankan siasatan sejak minggu lalu dan diberikan tempoh 30 hari bermula 15 Mei untuk mengemukakan laporan awal kepada kementerian.FRU

Menteri Pengangkutan, YB Loke Siew Fook dalam satu kenyataan media menyatakan bahawa pasukan ini ditubuhkan dengan matlamat untuk menyiasat punca sebenar kejadian secara holistik. Ia termasuk mengenal pasti sebarang kelemahan sistem keselamatan jalan raya, menilai keberkesanan penguatkuasaan dan peraturan sedia ada dalam industri pengangkutan, serta mencadangkan penambahbaikan terhadap infrastruktur dan penggunaan teknologi yang dapat mencegah insiden sama daripada berulang.

FRU

Pasukan ini diketuai oleh Brigadier Jeneral Tan Chee Kee dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) selaku Ketua Inspektor Kemalangan Udara MOT. Ia turut disertai oleh wakil daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), serta dua Ahli Parlimen iaitu YB Datuk Seri Utama Ir. Hasni Mohammad dan YB Ir. Ts. Hj. Khairil Nizam Khirudin. Turut bersama ialah pakar keselamatan jalan raya dari Universiti Putra Malaysia, Prof. Dr. Kulanthayan K.C. Mani @ Subramaniam dan jurutera profesional bebas, Dato’ Ir. Foong Choy Chye.

YB Loke menegaskan bahawa siasatan ini tidak bertujuan untuk menuding jari kepada mana-mana pihak. Sebaliknya, penubuhan pasukan petugas ini merupakan langkah proaktif kerajaan untuk mengenal pasti kekurangan dalam sistem sedia ada dan seterusnya mencadangkan solusi yang sistematik serta berkesan. Pendekatan ini penting dalam memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa menjadi keutamaan, terutama apabila melibatkan pergerakan logistik pasukan keselamatan negara.