Trajedi konvoi motosikal - Penunggang motosikal maut langgar serpihan tayar lori

oleh Penyumbang Rencana|
gambar dari Sinar Harian
Seorang penunggang motosikal maut manakala empat yang lain cedera selepas dipercayai terlanggar serpihan tayar lori di Kilometer 190.7 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan di Jasin, pada awal pagi Khamis.

Dalam kejadian lebih kurang jam 2 pagi, mangsa Mohd Afirzul Hamzah, 35, yang menunggang motosikal jenis Yamaha RX-Z disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Ahmad Jamil Radzi berkata, kesemua mangsa berkonvoi dari arah Simpang Ampat, Melaka menghala ke Johor.

Menurutnya, namun setiba di lokasi kejadian, salah seorang mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 dipercayai melanggar objek di atas jalan lalu hilang kawalan sebelum kesemua mereka terjatuh.

"Kumpulan konvoi dipercayai dari Johor itu baharu berhenti menjamu selera di Simpang Ampat sebelum meneruskan perjalanan pulang ke Johor.

"Akibat kejadian itu mangsa yang bekerja sebagai pemandu lori meninggal dunia di tempat kejadian, manakala mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Jasin bagi mendapatkan rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Jelasnya, salah seorang mangsa yang merupakan pelajar, Zakrul Ariffin ditempatkan di zon merah manakala tiga yang lain mengalami patah bahu kanan, luka tangan dan kaki serta cedera pada kepala.

"Siasatan masih dijalankan di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Jasin sebelum dituntut waris keluarga, " katanya lagi.

 

Sinar Harian

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Menurut laporan New Straits Times - “Time for Motorcycle Convoy Safety Laws, Says Road Safety…
Berita Domestik
Beliau berkata konvoi sepatutnya menjadi platform untuk mengeratkan silaturahim dan memupuk…
Berita Domestik
Menurut rakan mereka, Muhammad Arashid Ramli, 39, berkata, dia menerima khabar duka itu daripada…