Treler Ragut 3 Nyawa di Gemas, APAD Batalkan Lesen Pengendali Syarikat

oleh Qalif Latif|
Kemalangan maut melibatkan sebuah treler di Persimpangan Taman Golden Hill, Gemas Baharu pada 2 April lalu membawa kepada tindakan tegas oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) apabila lesen pengendali syarikat terlibat dibatalkan serta-merta.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.45 petang itu, tiga individu termasuk sepasang suami isteri dilaporkan maut, manakala dua lagi mangsa mengalami kecederaan parah.

Treler Langgar Kenderaan Mangsa

Menurut kenyataan rasmi APAD, kemalangan berpunca daripada sebuah treler yang melanggar kenderaan dinaiki mangsa di persimpangan berkenaan. Insiden tersebut dianggap serius berikutan impaknya terhadap keselamatan awam.

Siasatan Dedah Pelbagai Pelanggaran Keselamatan

Hasil siasatan mendapati syarikat MFG Barokah Enterprise (LA) gagal mematuhi keperluan di bawah Amalan Keselamatan Industri (ICOP).

Antara kegagalan dikenal pasti termasuk tidak memastikan kenderaan diselenggara dengan baik, gagal mengawal tingkah laku pemandu, serta tidak mengutamakan keselamatan pengguna jalan raya lain. Syarikat itu juga didapati mempunyai rekod pemanduan melebihi had laju yang dibenarkan.

Lesen Pengendali Dibatalkan Berkuat Kuasa 10 April

Susulan pelanggaran tersebut, Mesyuarat Jawatankuasa Penggantungan dan Pembatalan Lesen APAD memutuskan bahawa syarikat berkenaan gagal memenuhi syarat lesen di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).

Sehubungan itu, lesen pengendali syarikat dibatalkan berkuat kuasa 10 April 2026. Dengan pembatalan ini, syarikat tersebut tidak lagi dibenarkan mengendalikan atau menawarkan sebarang perkhidmatan menggunakan kenderaan di bawah lesen berkenaan.

APAD Tegas Tiada Kompromi Isu Keselamatan

APAD menegaskan semua pengendali berlesen wajib mematuhi syarat yang ditetapkan dari semasa ke semasa bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Agensi itu turut memberi amaran bahawa kegagalan mematuhi standard keselamatan boleh menyebabkan lesen dibatalkan, selaras dengan usaha memastikan sistem pengangkutan awam darat yang lebih selamat, cekap dan berdaya saing untuk pengguna.



APADAPAD

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Dalam satu kenyataan pada Sabtu, tindakan tersebut diambil susulan insiden pada 24 Mei 2021 yang…
Berita Domestik
Garis panduan elak kekeliruan penggunaan kenderaan Menurut MOT, garis panduan ini diperkenalkan…
Berita Domestik
Menurut kenyataan media APAD bertarikh 30 Januari 2026, pembatalan permit tersebut melibatkan kira-…