Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam, Pegawai Bomba Hafizul Adzrin berkata operasi yang disertai 14 anggota dengan kekuatan dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan tiga unit Rapid Intervention Motorcycle (RIM).
"Sebaik pasukan tiba di lokasi, seorang mangsa didapati tersepit di bawah sebuah kereta Perodua Viva.
"Mangsa berjaya dikeluarkan selepas bantuan kren digunakan untuk mengangkat treler terbabit sebelum anggota bomba menggunakan peralatan khas," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
"Seramai tujuh mangsa dilaporkan cedera iaitu tiga lelaki dewasa yang menaiki lori Isuzu, seorang lelaki dewasa menaiki lori Hicom, serta empat mangsa daripada sebuah Honda HRV yang terdiri daripada seorang lelaki dan dua wanita.
"Manakala empat lagi mangsa lain dilaporkan selamat iaitu pemandu lori treler, seorang lelaki dewasa dari Honda HRV serta dua wanita yang menaiki dua buah Perodua Axia," katanya.
Menurut beliau, mayat mangsa yang maut kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala mangsa cedera telah dihantar ke hospital untuk rawatan.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani mengesahkan kejadian dan kes masih dalam siasatan.
Sebelum itu, tular rakaman kamera belakang sebuah kereta berdurasi 43 saat memaparkan sebuah treler merempuh beberapa kenderaan di hadapan Masjid Sabak Uni, Parit Raja.