Treler terjunam dari jejambat

oleh Hamimah Hamid|
SEBUAH treler terjunam dari jejambat ke jalan bawah di Kilometer 271.2 Lebuhraya Arah Utara dekat Jalan Kuala Kangsar tengahari tadi menyebabkan laluan dari arah pekan Ipoh menghala ke Tasek, terhalang.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, pemandu treler terbabit yang dalam perjalanan dari Butterworth, Pulau Pinang bagaimana pun hanya cedera ringan.

Katanya, insiden kira-kira pukul 12.40 tengahari itu dipercayai berlaku akibat masalah brek dan treler tersebut tidak membawa sebarang muatan.

“Semasa Polis Peronda Lebuh Raya (EMPV) Unit 16 Changkat Jering - Ipoh sedang melakukan rondaan didapati  sebuah treler terbabas dan menjunam ke dalam jalan persekutuan.

“Ketika kejadian cuaca baik,” katanya.

Sementara itu, urucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, kerja-kerja pengalihan lori dan besi jejambat yang menghalang laluan di kedua-dua arah telah diserahkan kepada pihak yang berkaitan dan tiada kemalangan jiwa atau sebarang kecederaan dilaporkan setakat ini.

“Kita segera mengerahkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh bagi pemantauan dan sebaik tiba pemandu lori sudah keluar dari kenderaan itu dengan sendirinya,” katanya.

Terdahulu, tular beberapa gambar dan video yang menunjukkan lori terjatuh dari atas jejambat secara melintang dan kenderaan yang melalui jalan berkenaan sempat memberhentikan kenderaan dan terselamat dari dihempap lori serta besi jambatan yang jatuh.