Hadir sebagai generasi keenam, Triton 2024 tampil serba baharu dengan peningkatan keseluruhan aspek yang menjanjikan sebuah trak pikap untuk memenuhi keperluan kerja dan gaya hidup aktiviti lasak.
Untuk pasaran Malaysia, Mitsubishi Triton 2024 hadir dengan 5 pilihan bermula dari varian asas Single Cab untuk memenuhi keperluan kerja hinggalah varian tertingginya iaitu Athlete untuk melengkapkan gaya hidup.
Pada hujung tahun lalu juga, kami telah dibawa oleh MITSUBISHI MOTORS MALAYSIA (MMM) untuk melawat kilang Mitsubishi di Okazaki, Aichi, Jepun
Di situ juga kami berpeluang ke litar ujian di pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) Mitsubishi untuk mencuba sendiri Triton 2024 dengan lebih awal sebelum memasuki pasaran Malaysia.
Bergerak beberapa bulan ke hadapan dan beberapa minggu sebelum pelancaran di Malaysia, pihak media sekali lagi diberi peluang untuk memandu uji trak pikap baharu itu untuk membuktikan lagi kebolehannya.
Untuk pengetahuan, sesi pandu uji di Malaysia hanya dibekalkan dengan varian Triton paling berkuasa iaitu Athlete, pastinya selepas ini kami teringin untuk menguji varian-varian lain terutama sekali Triton Single Cab dengan transmisi manual.
Berikut merupakan ulasan melalui pengalaman pemanduan yang dapat dijadikan sebagai bukti bahawa ini betul-betul Triton baru:
1. Nadi baharu 4N16, lebih berkuasa, lebih jimat!
Pandu uji di Malaysia bermula dari Bangsar, di mana kami di bawa ke lokasi pertama di Janda Baik untuk menguji kebolehan off-road.
Perjalanan selebihnya melalui lebuh raya menuju ke Kuantan di mana kami dapat menguji kuasa yang dihasilkan dari nadi baharu 4N16.
Kesemua varian Triton 2024 menggunakan nadi baharu 4N16 2.4 liter MIVEC yang dipertingkat untuk menghasilkan lebih kuasa dan cekap tenaga.
Varian tertingginya iaitu Athlete dilengkapi nadi 4N16 2.4 liter turbo berkembar dan dipadankan dengan transmisi automatik 6 kelajuan yang dipertingkat, di mana ia menghasilkan kuasa sehingga 201 hp dan 470 Nm.
Nadi baharu itu sememangnya mentakrifkan semula nama Triton sebagai sebuah trak pikap sederhana dengan kuasa yang lebih daripada cukup.
Kerja-kerja memecut dan memotong sama ada di lebuh raya atau pun off-road kini lebih mudah, dengan bantuan daya kilas yang tinggi walaupun pada putaran enjin rendah.
Menariknya juga, nadi baharu itu bukan sahaja menawarkan kuasa yang lebih tinggi, malahan menawarkan penjimatan bahan api yang lebih baik berbanding generasi sebelumnya.
2. Platform ladder frame baharu yang lebih kukuh
Selain nadi baharu, Triton 2024 juga dilengkapi platform ladder frame baharu dengan keluli tegangan tinggi (1,180 MPa) untuk meminimumkan penambahan berat badan.
Menurut Mitsubishi, platform ladder frame baharu itu mempunyai ketegaran kilasan 60 peratus lebih baik dan ketegaran lenturan 40 peratus lebih baik berbanding platform generasi terdahulu.
Saiz Triton baharu juga kini lebih besar berbanding generasi terdahulu, di mana ia memiliki dimensi sepanjang 5,360 mm (+55 mm), lebar 1,930 mm (+115 mm), tinggi 1,815 mm (+35 mm) dengan jarak antara roda sepanjang 3,130 mm (+130 mm).
Jarak lega bumi (ground clearance) pula adalah setinggi 222 mm di mana ia sememangnya memudahkan perjalanan off-road.
3. Tetapan sistem suspensi yang seimbang mengikut keadaan
Bagi meningkatkan lagi pengalaman pemanduan di atas jalan dan off-road, Triton 2024 hadir dengan tetapan sistem suspensi baharu yang merangkumi jenis double wishbone di bahagian hadapan, dan jenis spring dedaun di bahagian belakang.
Tetapan suspensi pada Triton 2024 telah ditala untuk menawarkan kestabilan dan kawalan yang lebih baik, di samping dapat memberikan kekuatan dan ketahanan yang baik melalui penggunaan spring dedaun.
Melalui pengalaman pemanduan di atas jalan biasa dan off-road, Mitsubishi berjaya memberikan keseimbangan antara ketegaran yang diperlukan untuk laluan off-road dan keselesaan pemanduan di jalan raya biasa.
4. Pemanduan yang lebih baik berbanding generasi terdahulu!
Dengan penggunaan enjin, platform dan tetapan suspensi serba baharu, pengalaman pemanduan Triton 2024 sama ada di atas jalan biasa atau secara off-road sememangnya lebih baik dan seronok!
Khusus untuk penggemar gaya hidup lasak tanpa pengalaman pemanduan off-road seperti penulis, Triton baharu ini wajib diletakkan sebagai antara pilihan utama untuk dibeli.
Untuk varian Athlete dan pertama kali didatangkan untuk Triton, ia dilengkapi sistem Active Yaw Control (AYC) baharu yang meningkatkan prestasi semasa selekoh.
AYC berfungsi dengan mengawal daya putaran (yaw) kenderaan dengan mengagihkan tork antara roda kiri dan kanan secara elektronik, bergantung kepada cara pemanduan.
Ini bermaksud AYC dapat menyalurkan kuasa yang lebih kepada salah satu roda untuk meningkatkan cengkaman,terutama sekali untuk kenderaan pacuan empat roda.
Juga untuk varian Athlete, ia dilengkapi sistem pacuan empat roda Super-Select 4WD-II lengkap di mana ia menawarkan sehingga tujuh mod (Normal, Eco, Gravel, Snow, Mud, Sand dan Rock).
5. Rupa luaran kini lebih unik dan kekal agresif
Penulis yakin ada yang susah untuk menghadam rupa baharu itu, namun bagi penulis rekaan keseluruhan Triton baharu itu sememangnya sangat unik dan lebih segar untuk merancakkan lagi saingan.
Triton baharu itu diserlahkan dengan reka bentuk yang lebih menonjol dan lebih agresif bersama bahasa rekaan Beast Mode.
Bahagian depan menampilkan jeriji lebih lebar dengan aksen krom hitam, dipadankan dengan lampu DRL LED berbentuk L, diikuti dengan unit lampu utama berbentuk tiga dimensi.
Bahagian belakang pula hadir dengan unit lampu berbentuk T yang direka untuk menonjolkan tahap kelebaran Triton baharu itu.
6. Ruang dalaman dipertingkatkan dengan pelbagai ciri baharu
Pada bahagian dalaman, ia turut menerima penggayaan dan peningkatan ergonomik yang ketara di mana ia dapat dirasai melalui perjalanan jauh antara Bangsar, Kuala Lumpur ke Kuantan, Pahang.
Tempat duduk belakang juga telah direka semula untuk memberikan lebih keselesaan yang hampir ke arah sebuah SUV, ya hampir sahaja kerana ia masih memiliki karakteristik tempat duduk belakang sebuah trak pikap.
Pengalaman pemanduan juga dapat dipertingkatkan lagi dengan rekaan ruang kabin yang lebih moden dengan konsep Horizontal Axis.
Ruang kabin kini dilengkapi pelbagai kelengkapan baharu seperti skrin infotainment bersaiz 8 inci dengan fungsi Apple CarPlay dan Android Auto, instrumen kluster bersaiz 7 inci, stereng yang dibalut kulit, pad pengecas tanpa wayar dan banyak lagi.
Dari segi keselamatan, Triton Athlete 2024 hadir sebagai pesaing dengan ciri keselamatan terbaik dalam kategori trak pikap.
Kesemua varian Triton 2024 akan didatangkan standard dengan ciri Active Stability & Traction Control (ASTC).
Sementara varian terpilih seperti Athlete akan dipertingkatkan dengan ciri bantuan keselamatan seperti:
- Forward Collision Mitigation System (FCM)
- Lane Departure Warning (LDW)
- Adaptive Cruise Control (ACC)
- Blind Sport Warning with Lane Change Assist
- Rear Cross Traffic Alert
- Hill Descent Control (HDC)
- Hill Start Assist (HSA)
Kesimpulannya, Mitsubishi Triton 2024 boleh dijadikan sebagai salah satu pilihan wajib bagi mereka yang sedang mencari trak pikap untuk memenuhi gaya hidup lasak pada hujung minggu.
Spesifikasi dan harga yang ditawarkan untuk Triton Athlete (RM165,980) meletakkannya sebagai seteru terus kepada Toyota Hilux Rogue, Nissan Navara Pro-4X dan Ford Ranger Wildtrak
Varian lain untuk Mitsubishi Triton 2024 bermula dari RM101,980 untuk Triton Single Cab, RM114,980 untuk Triton MT, RM116,980 untuk Triton AT GL dan RM145,980 untuk Triton AT Premium.