Tujuh teknologi yang bakal menjadi kelaziman pada tahun 2019 (dan tahun 2020)

oleh Mohamad Hanif|
Dunia automotif kini semakin maju ke hadapan dengan pelbagai ciri menarik yang lebih digital, tanpa wayar dan lebih terhubung berbanding beberapa tahun sudah.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02


Berdasarkan trend yang ditunjukkan oleh syarikat automotif semasa, tidak mustahil perkara yang kami cuba tunjukkan pada artikel ini bakal menjadi suatu yang lazim dan arus perdana. 

 

Cermin pandang sisi tanpa cermin


Rasanya sudah tidak layak untuk digelarkan sebagai cermin sisi memandangkan fungsi asalnya telah pun diambil alih oleh kamera, seperti mana yang diperlihatkan oleh Lexus ES 2019. 

Penggunaan kamera ini mampu memberikan pandangan luar yang lebih dinamik, serta mengurangkan kadar geseran aerodinamik selain meningkatkan tahap keselamatan terutama ketika jarak pandangan yang sangat teruk. 

Buat masa ini, hanya Jepun menerima teknologi kamera sisi ini terlebih dahulu. 

 

Peranti pintar (dan cap jari) menggantikan kunci


Tesla sudah pun memulakan trend menjadikan peranti pintar sebagai kunci utama untuk kenderaan dan menerusi aplikasi mudah alih, para pemilik boleh menyemak status semasa kenderaan mereka dengan hanya sentuhan di hujung jari sahaja. 

Malah, pelancaran SUV tempatan baharu yang diimport daripada China itu juga turut menampakkan fungsi aplikasi mudah alih yang serupa. 

Tidak dilupakan teknologi pengimbas cap jari, hanya masa dan keadaan yang akan menentukan teknologi ini akan diperluaskan kepada kenderaan yang lebih mesra rakyat. 

 

Sistem paparan head-up (HUD) gergasi


Syarikat kimia Jepun, Sekisui Chemical telah memperlihatkan konsep di mana mereka mampu menghasilkan head-up display yang lebih besar berbanding apa yang ada pada ketika ini. 

Menggunakan bahan khas peka cahaya yang dilekatkan pada cermin hadapan, ia akan diaktifkan menggunakan sinaran laser dan memaparkan maklumat penting seperti navigasi, kadar kelajuan kenderaan dan amaran keselamatan semasa. 

Sekiranya digandingkan dengan sistem bantuan pemanduan, head-up display ini mampu mengesan pejalan kaki, haiwan liar melintas serta rintangan di atas jalan. 

 

Sistem pengecasan EV tanpa wayar


Selamat tinggal wayar yang berselirat apabila kemajuan teknologi pengecasan kini memudahkan para pemilik EV mengecas kenderaan mereka dengan lebih mudah. 

Syarikat pembekal teknologi seperti Qualcomm dan Continental sebelum ini telah mendedahkan prototaip rekaan stesen pengecas tanpa wayar ini, malah ia sebenarnya boleh diperluaskan kepada kawasan parkir terbuka. 

Malah sebelum ini terdapat beberapa pihak mengusulkan laluan khas di lebuhraya untuk mereka mengecas EV tanpa perlu berhenti!

 

Motor elektrik bersaiz mini


Menggunakan kereta demo Honda Civic Type R, sistem motor elektrik mini yang dihasilkan oleh Orbis ini mampu menjadi solusi kepada mereka yang mahu menukar sistem pacuan elektrik pada kereta biasa. 

Tidak seperti tipikal EV yang memposisikan motor elektrik pada bahagian tengah gandar, Orbis hanya menggunakan motor elektrik yang kecil diletakkan pada bahagian tengah rim, dan dakwa mereka lagi, sistem ini lebih menjimatkan ruang dan lebih ringan. 

Nah, tidak lama lagi anda boleh jadikan Honda Civic Type R menjadi kereta pacuan semua roda!

 

Sistem brek menggunakan wayar


Selepas stereng berkuasa elektrik, serta sistem suspensi yang boleh dilaraskan secara elektronik, giliran sistem brek pula menerima teknologi yang serupa. 

Walaupun ia sudah lama dipakai oleh jentera F1 dan mula diperkenalkan pada kebanyakan kenderaan EV dan hibrid, sistem brake-by-wire ini juga turut dimuatkan pada kereta konvensional seperti Alfa Romeo Giulia dan Cadillac XT4.

Secara asasnya, sistem brake-by-wire ini mampu mengurangkan berat kenderaan secara keseluruhan, di samping menawarkan kadar talaan yang lebih meluas berbanding sistem hidraulik. 

 

Sistem pemantauan pemanduan yang lebih tegas


Penulis sebelum ini sudah pun merasai beberapa sistem pemantauan pemanduan seperti yang ada pada Ford Ranger (Ford's Driver Alert) dan Nissan Serena S-Hybrid (Intelligent Driver Alertness) yang mana ia mampu mengesan pemanduan yang tidak konsisten menerusi arah pergerakan stereng. 

Sistem pemantauan pemandu yang lebih tegas seperti DriverFocus (Subaru) dan Super Cruise (Cadillac) pula mengesan arah pemandangan pemandu menerusi kamera infrared, dan memberikan amaran sekiranya pemandu mengalihkan pandangan dalam tempoh tiga saat, malah kereta akan berhenti dengan sendiri sekiranya anda ingkar.

Semua ini demi memastikan pemanduan yang lebih selamat dan tidak membahayakan, dan tidak mustahil syarikat pengeluar automotif yang lain akan hadir dengan versi mereka tersendiri. 

 

Teknologi memberi isyarat menerusi gerak hati


Harap maaf, masih belum wujud teknologi ini untuk mereka yang malas memberikan isyarat membelok ketika memasuki simpang, namun siapa sangka anda bakal menjadi salah seorang daripada pencipta idea bijak ini?

Mungkin suatu hari nanti, dengan terhasilnya idea sebegini tuil lampu isyarat sudah boleh dimansuhkan pada kereta produksi. 

Berita Berkenaan

Informasi
Sayangnya Cybertruck masih belum bersedia untuk dijual di luar US, tetapi ada banyak lagi teknologi…
Berita Global
Sebaliknya, pembuat kereta beralih kepada alat tambah baharu seperti katil hingga ke atas dapur…
Berita Global
Chery Group telah mencipta sejarah baharu apabila berjaya merekodkan 1,232,727 unit jualan secara…